Cerpen - Khibroh : Pemuda Dan Ramadhan
Khibroh : Pemuda Dan Ramadhan 1.0
"Yaacob... cepat bersiap. Kita semua akan solat terawih di surau An-Nur malam ini." Puan Maryam memanggil anak ke-enamnya yang masih leka membaca komik. Budak darjah dua apalah sangat pengetahuan mereka tentang Ramadhan.
"Semua pergi ke umi?" Yaacob bertanya seakan malas.
"Ya. Yaacob dah lupa ke janji Umi dengan Yaacob?"
"Ingat. Ingat. Kalau Yaacob puasa penuh dan terawih penuh, Umi akan bagi upah. Umi kan?" Kanak-kanak berusia lapan tahun itu mengulang tawaran ibunya pada hari pertama bulan puasa.
"Ya betul. Baguslah kalau Yaacob ingat. Cepat bersiap. Nanti kita lewat pula." Puan Maryam lalu duduk di sofa ruang tamu. Menanti anak-anaknya bersiap ke surau. Baginya, biarlah dia peruntukkan sejumlah duit buat Yaacob asalkan tahun ini Yaacob berjaya istiqamah ke surau.
Pada awal usia Yaacob sebegini, tawaran pahala mungkin sukar dibayangkan. Sebab itulah Puan Maryam cuba memberikan habuan dunia. Agar anaknya dekat dengan masjid dahulu. Apabila si kecil itu sudah besar nanti, harapnya dia akan tertawan dengan tawaran akhirat yang lebih kekal nilainya.
"Umi, Yaacob dah siap." Yaacob menoleh Kak Teh, Kak Cik dan Abang Nik disebelah umi menunggu Yaacob. Tiba-tiba dia teringat kepada adik beradiknya yang lain.
"Umi, mana Kak Yong dan Angah? Mereka tak ikut kita pergi masjid ke?" Yaacob menggaru dahi berfikir. Adik Nur dan adik Farhan pun dia tak nampak ada sebelah umi.
"Angah, dan adik Farhan dah ikut Abah. Yaacob je yang lambat. Lain kali jangan baca komik banyak sangat ya Yaacob."
"Kak Yong cuti hari ni. Dia ganti umi jaga adik Nur."
"Ooo... Umi jomlah kita pergi surau. Maafkan Yaacob Umi."
Bersambung...
***
Khibroh : Pemuda Dan Ramadhan 2.0
Van jenama Ford kepunyaan Hassan meluncur laju ke jihat Bachok. Tidak kurang sejam setengah, Van itu akan sampai ke rumah atuk. Yaacob termenung di tengah-tengah adik-beradiknya. Van itu tidaklah besar sangat. Di bahagian penumpang ada tiga baris tempat duduk. Setiap baris boleh memuatkan tiga orang. Bahagian depan pula, sebelah kerusi pemandu, ada dua kerusi penumpang.
Empat tambah empat tambah dua sama dengan sepuluh. Itulah jumlah ahli keluarga Hassan. Kak Cik, Kak Teh dan adik Farhan berada di barisan pertama. Adik Nur duduk sebaris dengan Kak Yong berdua. Barisan yang paling menjadi rebutan ialah barisan akhir. Perjalanan pulang ke rumah atuk kali ini Angah bersama Yaacob dan Abang Nik terlebih dahulu berjaya mengambil posisi rebutan. Umi dan Abah sedang asyik berbual di depan. Anak-anak?
Yaacob memandang Angah bosan. Angah buat kacau adiknya itu. Yaacob marah. Angah kacau Abang Nik pula. Tiba-tiba satu idea muncul dari mulut Kak Yong. Kak Yong menoleh ke belakang.
"Jom main teka-teki?" Semua tersenyum. Mereka memang suka dengan teka-teki. Abah lah puncanya. Sejak kecil Abah suka membuat teka-teki untuk mereka. Kata Abah itu cara untuk Abah latih anak-anak cara berfikir.
" Haa, Angah ada satu teka-teki. Sapa yang boleh jawab, dia boleh ambil ayam goreng Angah nanti berbuka kat rumah atuk." Keningnya di angkat riang. Tujuh pasang mata lagi memandang penuh minat. Umi dan Abah tergelak lihat gelagat anak-anak. Mujurlah anak-anak pandai mengisi masa senggang.
"Angah nak teka pasal apa? Tanya lah dulu, baru boleh tahu boleh jawab ke tak." Kak Cik jujur bertanya. Senyuman Angah jadi lebar.
Sejam setengah perjalanan bagai tidak dirasa. Semua ada teka-teki cuma adik Farhan dan Adik Nur sahaja yang belum pandai mereka soalan. Habis semua teka-teki yang dipelajari dari kawan-kawan disekolah, mereka bincangkan dalam perjalanan itu.
"Eh, eh. Hassan dan Maryam dah sampai la Ayah Jie". Maimun mengejutkan suaminya, Darzi yang terlena selepas membaca Quran. Mereka berdua menyambut kedatangan anak, menantu dan cucu mereka untuk berbuka dan berterawih bersama-sama dikampung hari ini.
Gembiranya saat berbuka. Apabila menahan lapar lebih separuh hari demi Ilahi, lalu kita menghadap hidangan bermula dengan nama Tuhan. Tuhan yang menciptakan. Namun, lebih gembira lagi apabila kegembiraan dikongsi bersama ibu dan ayah di kampung sana. Sibuk bekerja bukanlah alasan untuk tidak langsung berbuka bersama orang tua kita. Tanpa mereka, manakan mampu kita mengenal puasa dan ramadhan.
"Yaacob, Angah, Adik Farhan dan Abang Nik... tambah-tambah. Banyak nasi tu. Ayam goreng pun banyak lagi. Emak Mun memang masak banyak hari ni." Ayah Jie menyapa cucu-cucu lelaki di depannya. Tanpa dipaksa sebaris senyuman terukir di wajah Hassan.
Bersambung...
***
Khibroh : Pemuda Dan Ramadhan 3.0
Dia termenung panjang. Matanya di talakan jauh ke sana. Jemarinya memutar-mutarkan sebatang pen berwarna biru. Dia bersandar pada kerusi roda. Bilik guru sekolah rendah Sultan Ibrahim Satu sepi seketika. Kebanyakan guru sedang mengajar di dalam kelas. Walaupun di bulan Ramadhan, proses pendidikan dan pembelajaran berjalan seperti biasa.
Hanya tinggal beberapa orang saja di bilik guru saat ini. Ada yang sedang menambah amalan dengan membaca AlQuran. Ada juga yang tekun menyiapkan tugasan. Puasa tidak menjadikan kita tidak produktif dalam bekerja. Bahkan, puasa memberikan kesihatan seribu satu kesihatan.
Cikgu Ramli melangkah masuk ke bilik guru. Di lihat sahabatnya asyik bermenung seorang diri.
"Ustaz Tajul tak ada kelas ke hari ni?" Cikgu Ramli menyapa ramah.
"Ada. Insya-Allah, pukul 10.45 pagi nanti." Ustaz Tajul seakan ingin bertanya sesuatu.
"Hmm... Cikgu Ramli, agak-agak lah, kalau nak sampaikan pasal Ramadhan kat budak-budak darjah dua. Apa yang sesuai kita sampaikan?" Ilmu adalah suatu yang bernilai. Semua orang perlu menguasai ilmu tetapi mestilah kena pada masa dan tempat agar tidak hanya seperti mencurah air ke daun keladi. Meminta pendapat rakan sekerja merupakan suatu amalan yang baik. Itu tanda kita tidak sombong dan sedia belajar dari sesiapa sahaja.
***
Haziq garu kepala. Di perhatikan buku tulis matematik di depannya cermat. Kalau tersilap langkah, dia akan kalah bermain titik dengan Yaacob. Alam persekolahan memang menyeronokkan. Kita hanya belajar dan belajar. Tidak perlu terbeban memikirkan perkara lain.
"Assalamualaikum Cikgu." Tengku sebagai ketua kelas 2B (Bakawali) mengetuai pemberian salam.
"Apa khabar anak murid ustaz hari ni?" Ustaz Tajul mengitar pandangannya ke semua ahli kelas 2 Bakawali. Semua hadir. Semua fokus kecuali dua orang.
"Haziq... Yaacob... Kamu masih bermain ya? Ustaz nak mula pelajaran ni."
"Baik anak murid Ustaz sekalian, hari ni ustaz nak cerita pasal kelebihan Bulan Ramadhan. Jadi, ustaz nak semua bawa kerusi, datang duduk dekat dengan meja ustaz ni." Semua anak-anak kecil mengangkat kerusi mereka mendekati Ustaz Tajul. Tanggungjawab sebagai guru bukan hanya mengajar untuk lulus peperiksaan tetapi sebenarnya agar anak muridnya mengenal hakikat sebenar kehidupan.
Darah orang muda yang mengalir di dalam diri Ustaz Tajul memaksa dirinya menyampaikan risalah Islam kepada murid-muridnya. Hari ini usia mereka mungkin baru lapan tahun tetapi dua puluh tahun lagi mereka bakal menjadi pemuda bahkan menjadi bapa orang barangkali. Menyemai benih kebenaran Islam sangat muhim. Demi melihat lahirnya generasi pemuda Islam yang bukan sebarangan.
"Ustaz. Ustaz. Bulan Ramadhan tu bulan puasa ke?" Adha bertanya penuh minat. Yaacob dan Haziq saling memandang. Mereka gelak kecil. Semangat betul Adha seorang ini.
Bersambung...
***
Khibroh : Pemuda Dan Ramadhan 4.0
" Ya betul Adha. Bulan Ramadhan juga kita namakan bulan puasa. Sebab dalam bulan ni... bagi Umat Islam yang mukallaf, wajib mereka berpuasa." Ustaz Tajul melihat seorang murid perempuan mengangkat tangan. Waktu pembelajaran dan pengajaran Ustaz Tajul memang diminati para pelajar. Mereka rasa terbuka untuk bertanya dan berkongsi. Seawal usia mereka itu, Ustaz Tajul berusaha menjadikan anak muridnya orang yang berani bertanya pada tempat.
"Haa Misbah, nak tanya soalan apa tu?"
"Ustaz, ayah saya cakap bulan Ramadhan ada banyak nama. Ya ke ustaz?"
"Apa nama-nama bulan Ramadhan ustaz?" Rasa ingin tahu yang menjalar dalam dirinya menjadikan Misbah bersemangat untuk belajar sesuatu ilmu.
"Betul. Siapa yang tahu nama-nama bulan Ramadhan?" Sengaja Ustaz Tajul melontarkan kembali persoalan itu kepada anak-anak muridnya. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang lebih tahu. Kerna pendedahan ilmu agama berbeza-beza mengikut persekitaran dirumah masing-masing.
Yaacob seakan tahu. Rasanya dia pernah dengar nama-nama bulan yang mulia itu tetapi dia lupa.
"Bulan Quran, betul ustaz?" Haziq mencuba nasib. Dia merasakan bulan ini adalah bulan AlQuran apabila adik, abang, kakak dan ibubapanya jadi rajin baca Quran apabila tiba sahaja bulan ini. Dia pun terikut sekali membaca AlQuran.
"Betul. Lagi apa lagi nama lain Ramadhan?" Semua murid-muridnya terdiam berfikir. Ustaz Tajul mengangkat enam jari.
"Hari ini Ustaz akan kongsikan enam nama Bulan Ramadhan. Pertama, ia dipanggil syahrul Siyam iaitu bulan... puasa. Kedua, ia juga disebut dengan nama syahrul AlQuran sebab pada bulan inilah bermulanya AlQuran diturunkan." Safwan yang betul-betul berada di depan ustaz kelihatan laju mencatat.
"Ketiga, kita panggil juga ia dengan syahrul Sabri. Bulan kesabaran. Kerna kita melatih kesabaran di bulan ini. Puasa mendidik kesabaran diri, betul tak?" Sebahagian pelajar yang telah melalui puasa mengangguk-ngangguk setuju.
Termasuk Yaacob, Haziq dan Adha.
Termasuk Yaacob, Haziq dan Adha.
"Keempat, ia juga dinamakan syahrul Jihad. Bulan perjuangan. Kelima, syahrul tarbiah. Iaitu bulan pendidikan. Dan yang keenam, Ramadhan juga di katakan syahrul Jud. Yakni bulan membuat kebaikan. Umat Islam walaupun berlapar tetap Allah galakkan agar membuat kebajikan. Berkongsi makanan. Bertukar -tukar hidangan berbuka. Bersedeqah. Menolong ibu ayah. Dan banyak lagi."
Ustaz Tajul tahu kemungkinan apa yang disampaikan ini seakan berat untuk dicerna oleh kanak-kanak seusia itu. Apa yang di harapkan hanyalah untuk membiasakan mereka mendengar istilah-istilah di dalam Islam. Agar apabila mereka menjadi pemuda kelak, istilah itu tidak ghorib. Tidak asing buat mereka.
***
"Umi masak apa tu Umi?" Adik Farhan bertanya Umi yang sedang sibuk memasak.
"Umi masak pengat pisang Farhan. Nanti kita makan dengan pulut. Sedapkan?"
"Umi masak pengat pisang Farhan. Nanti kita makan dengan pulut. Sedapkan?"
"Sedap. Sedap. Adik Farhan suka pengat pisang Umi buat." Umi mengambil dua biji mangkuk. Umi tuangkan pengat pisang bersama kuahnya sekali. Umi capai pinggang kaca kecil. Umi letakkan sedikit pulut. Umi panggil Angah dan Abang Nik.
"Ya Umi. Ada apa ya?" Kedua-dua abang Yaacob datang serentak. Hassan memanggil anaknya mendekati. Maryam asyik memotong bebawang.
"Angah dan Abang Nik ambil mangkuk tu, sekali dengan pinggang kaca tu." Anaknya menurut patuh.
"Nak bagi kat sapa Abah?" Hassan tersenyum mendengar pertanyaan anaknya.
"Angah bagi kat rumah Encik Zaid. Adik Farhan ikut Angah ya." Adik Farhan angguk gembira.
"Abang Nik beri kat rumah Encik Shaari. Yaacob ikut Abang Nik ya."
"Okay, tentera Abah boleh laksanakan misi sekarang." Geli hati Hassan melihat anak-anaknya membuat tabik hormat. Jika di ikutkan kudrat, Hassan mampu sahaja untuk memberikan pengat pisang itu sendiri kepada jiran tetangganya.
Namun, mereka berpandangan jauh. Maryam dan Hassan mahu mendidik anak-anak mereka menjadi orang yang pemurah. Berkongsi rezeki kurniaan Allah. Tidak lokek untuk memberi. Tambah pula, amalan itu boleh mengeratkan hubungan kejiranan. Pasangan bahagia itu berusaha memaknakan syahrul Jud dengan sifat dermawan.
Bersambung...
***
Khibroh : Pemuda Dan Ramadhan 5.0
Suasana malam Ramadhan sungguh berbeza dengan malam-malam di bulan lain. Umat Islam dikurniakan stamina yang tinggi untuk beribadah pada malamnya walaupun disiang hari berpuasa. Benarlah bulan ini merupakan bulan tarbiah. Umat ini di didik dalam satu madrasah.
Imam Hasyimi menarik rehal kecil di sebelah. Di atasnya letak sebuah buku tazkirah. Usai empat rakaat terawih, para jemaah berehat seketika. Rehat yang sebentar itu di isi dengan nasihat-nasihat agama yang di ulang-ulang. Imam Hasyimi memandang ahli kariah penuh teruja. Walaupun sudah malam ke-enam berterawih namun mereka yang istiqamah terus komited. Setia di barisan balai solat.
"Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan... " Dia berhenti sejenak. Cuba memberi ruang untuk jemaah menelan patah demi patah pesanan kekasih Allah.
"Nescaya akan di ampunkan dosa-dosa mereka yang lalu." Yaacob kelihatan khusyuk mendengar di sebelah Pak Yunus. Dia juga berusaha mengambil nasihat-nasihat yang disampaikan dalam tazkirah antara terawih.
Umi selalu pesan, " Anak-anak umi mesti rajin belajar ilmu. Buat ibadah mesti berilmu. Sebab ilmulah pedoman manusia." Kata-kata umi hadir di kala ini. Yaacob bertambah fokus.
"Saudara-saudara yang saya cintai kerana Allah, marilah... marilah kita mengambil manfaat dari kehadiran Ramadhan. Tebuslah segala dosa kita dalam bulan ini." Tiba-tiba pinggang Yaacob di cuit dari kiri. Yaacob toleh kiri. Pak Ilias nampak khusyuk sahaja. Sebelah kanannya, rupanya Pak Yunus tersengih.
Yaacob sayang Pak Yunus. Bagi Yaacob Pak Yunus macam Ayah Jie. Ramah dengan budak-budak. Suka bermain dengan kanak-kanak. Sepanjang dia istiqamah berterawih di surau, Pak Yunus selalu mengajak dia berdiri solat disebelahnya.
Yaacob gembira. Gembira kerana ada orang macam Pak Yunus yang akan mengalu-alukan kehadiran dia ke surau untuk berjemaah. Yaacob juga suka dengan suasana damai yang ada di surau pada malam-malam Ramadhan. Dengan pesanan Imam Hasyimi yang elok-elok.
Usai terawih dan witir, Yaacob menunggu Umi di depan kereta Umi.
"Umi, Yaacob rasa nak datang setiap malam lah terawih. Yaacob rasa seronok solat terawih." Kanak-kanak sukakan perkara yang seronok. Mereka tidak gemar perkara yang membebankan mereka. Dalam hal mengasuh minat beribadah kepada anak-anak, ibubapa haruslah bijak mengatur strategi. Menyusun uslub dakwah. Timbulkan rasa seronok dalam mereka beribadah.
"Bagus la Yaacob rasa seronok. Umi doakan anak-anak umi, semuanya jadi kaki masjid selepas ni." Yaacob tersenyum girang. Kak Cik mencubit pipi Yaacob. Kak Cik memang suka buli Yaacob. Yaacob balas balik. Umi terus tegur Kak Cik.
"Tak baik kacau adik Kak Cik." Kak Cik tersengih sahaja. Kak Cik cubit lagi pipi Yaacob.
Bersambung. . .
***
Khibroh : Pemuda Dan Ramadhan 6.0
Angah selera sekali. Menjamu kerang rebus serai bersama sos pencicah MH MOHD. Malam ini mereka adik-beradik langkah kanan apabila tengah hari tadi Abah belikan kerang.
Yaacob berlari ke dapur sebaik sahaja pintu rumah di buka. Teringatkan kerang yang Umi masak membuatkan Yaacob tidak sabar-sabar untuk ke meja makan. Kelihatannya Angah, Abang Nik dan adik Farhan sudahpun di meja makan. Mendahului Yaacob dan adik-beradik perempuan yang lain.
Mangkuk kecil di ambil dari atas rak. Yaacob dengan penuh senyuman menghampiri abang-abangnya. Kerusi di rapatkan. Angah dan Abang Nik saling berpandangan. Wajah mereka mengisyarat sesuatu. Tangan kecil Yaacob cuba untuk mencapai kerang di dalam periuk di atas meja.
"Yaacob tak boleh makan kerang. Nanti mulut busuk." Angah mula menyakat adiknya.
"Angah makan takpa pulak?" Yaacob berusaha mencapai lagi tetapi tangannya di halang lagi. Giliran Abang Nik pula mengacau adiknya.
"Yaacob tak boleh makan kerang ni. Nanti senyuman Yaacob tak manis. Kami takpa lah sebab kami dah besar. Tak terkesan." Abang Nik ketawa berdekah-dekah. Adik Farhan dilayan baik pula. Yaacob jadi tak puas hati.
"Kenapa adik Farhan boleh makan pula?"
"Adik Farhan kecil lagi daripada Yaacob. Dia tak terkesan juga nanti." Angah sekali lagi menyakat adiknya. Telinga Yaacob merah. Nafas turun naik kencang. Yaacob tak keruan. Air mata jernih mengalir. Yaacob tak pandai nak bergaduh. Yaacob hanya tahu menangis. Tiba-tiba Abah masuk ke ruanh dapur.
"Kenapa Yaacob menangis? Sapa buat ni?" Abah menunjukkan keprihatinannya dengan emosi anak-anaknya. Yaacob geleng laju-laju.
"Takpalah Abah. Tak da apa-apa." Yaacob terus berlari keluar dari ruang dapur. Rumah tamu menjadi sasaran. Tubuhnya direbahkan ke kusyen empuk sofa. Di tekup wajahnya yang bersedih. Akhirnya dia terlena dalam tangisan. Pujukan Umi tidak berjaya membawa Yaacob ke dapur.
***
Badan kecilnya di goncang perlahan-lahan. Hassan berusaha mengejutkan anaknya. Semua anak-anaknya sudah jaga untuk bersahur kecuali anaknya yang ke-enam ini.
'Keras juga hati budak ni ya. Besar nanti, mungkin akan jadi seorang yang tetap dengan pendirian diri.' Hassan bermonolog.
"Yaacob... Yaacob. Bangun. Bangun."
"Mari bangun sahur. Mari nak, bangun sekejap pun tak pa."
"Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam kan pernah pesan... bersahur lah sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan. Jom bangun nak, makan sahur jom." Yaacob menggosok matanya yang masih kantuk. Ayahnya tegak disebelahnya. Yaacob berusaha senyum walaupun masih marah pada abang-abangnya yang sedikit nakal itu.
Bersambung. . .
***
Khibroh : Pemuda Dan Ramadhan 7.0
Hari ini solat subuh Abah hanya dirumah sahaja. Sengaja Abah tidak ke masjid demi berjemaah dengan anak-anak. Usai solat Abah suruh Angah dan Abang Nik ambil Quran. Kata Abah, Abah nak ajak mengaji Quran.
Pada usianya akhir 30-an itu, Hassan muhasabah kembali perkembangan anak-anak. Kesibukannya dua tiga tahun kebelakangan ini dengan kerjaya seorang guru menjadikan sedikit alpa tentang anak-anak. Soal wang ringgit ke sekolah semuanya beres. Perihal pakaian, semua anak-anak miliki baju seragam sekolah sendiri. Tapi soal kejiwaan, persoalan kehambaan diri dengan Tuhan agak perlahan perjalanannya.
Abah memandang Angah dan Abang Nik penuh kasih sayang. Seolah Abah mahu menyatakan, 'Maafkan Abah, anak-anak Abah. Selama ini Abah lalaikan sahaja soal agama kalian.'
"Angah. Abang Nik. Pagi ni kita baca Quran ya. Lama sudah Abah tak dengar bacaan kamu. Hak pertama AlQuran kepada kita ialah membacanya dengan tartil. Dengan betul. Tajwid yang elok." Satu persatu kalam Abah pagi ini. Walaupun semalam, Angah dan Abang Nik buat hal. Kacau adik Yaacob namun semua itu menjadikan Abah berfikir bukan marah. Abah terfikir bagaimanalah akhlak Angah dan Abang Nik sepuluh tahun nanti.
Angah sebagai anak lelaki sulung, baru saja menginjak usia 13 tahun pada Ramadhan kali ini. Abang Nik hanya muda setahun. Kedua-dua anak lelaki Abah inilah yang akan Abah harapkan nanti untuk menjaga Umi, kakak-kakak Yaacob dan adik-adik yang masih kecil. Abah sedar betapa ilmu akademik semata-mata takkan mampu menghasilkan insan yang berjaya di akhirat kelak. Perlunya digandingkan ilmu fardhu ain yang akan menjadi paksi dan tunjang para pemuda Islam. Kalau mereka menjadi bijakpandai, mereka akan amanah. Itu bukan kemestian tetapi itulah kebiasaannya.
Syukur Angah dan Abang Nik sudah boleh membaca Quran cuma bacaan mereka belum fasih dan banyak hukum tajwid mereka terlupa. Yaacob dan adik Farhan sudahpun lena ditikar sejadah di sebelah umi. Tadi selepas subuh, mereka berdua disuruh mengurut betis Umi. Lengah berdiri di dapur, adu Umi kepada mereka.
Mushaf Quran di tutup. Angah dan Abang Nik menanti kata dari Abah. Ada nasihat yang mahu Abah sampaikan.
"Kamu berdua dah besar panjang sekarang. Kamu, Angah... dah sekolah menengah dah. Kamu pula, Abang Nik... tahun depan pun akan masuk ke sekolah menengah. Kamu perlu rajin-rajin membaca Quran. Bulan Ramadhan ni, bacalah banyak sikit. Berganda-ganda pahala Allah menanti." Abah menguntum senyum melihat anak-anak di depannya. Mereka mengangguk-ngangguk.
"Betul tu kata Abah. Zainal dan Yassin dah besar. Umi nak tengok kamu berdua jadi contoh pada adik-adik dibawah ni." Umi menunjukkan ke arah Yaacob dan adik Farhan yang nyenyak di ulit mimpi. Umi tambah meluahkan lagi hasrat hatinya. "Yaacob dan Adik Farhan ni, dua-dua malas lagi nak ke rumah Mak Mah. Malas nak menggatih basikal untuk belajar mengaji. Kalau kamu dah pandai, bolehlah kamu ajar adik-adik dirumah ni. Umi dan Abah tak sempat." Tiba-tiba nurani Umi disentuh. Air mata diseka.
"Umi dan Abah terpaksa bekerja lebih untuk senangkan kehidupan dunia kamu. Jadilah anak yang soleh ya. Belum terlambat lagi sekarang untuk kamu belajar tajwid dan fasihkan bacaan. Lidah kamu tak keras lagi macam orang tua-tua."
Hassan menggosok belakang Angah dan Abang Nik. Moga-moga mereka menerima pesanan isterinya, Maryam.
"Nak jadi pemuda Islam yang hebat seperti pemuda zaman Rasulullah saw atau seperti Thariq bin Ziad, Solahuddin Al-Ayubi atau Sultan Muhammad Al-Fateh. Nak jadi?" Angah dan Abang Nik mengangguk laju mengiyakan.
"Kalau nak jadi macam mereka, kenalah bina jati diri dari sekarang. Umur ni lah kita nak semai... kita nak tanam benih yang baik dalam diri kita. Sepuluh dua puluh tahun lagi, boleh lah kita petik hasil buah yang baik."
"Pemuda Islam mesti pandai baca Quran. Mesti ada akhlak yang mulia. Barulah kita boleh tengok Islam bangkit semula." Bersungguh-sungguh Hassan memberi tasji' kepada dua bakal pemuda umat.
Bersambung. . .
***
Khibroh : Pemuda Dan Ramadhan 8.0
Bait Ihsan menyepi tanpa suara . Tiga penghuninya sudah bergegas segera ke Masjid Mustafa sedari pukul 12.00 pagi tadi. 12.30 pagi nanti, mereka bertiga mahu sama-sama bertahajud bersama masyarakat arab di ardul kinanah ini. Yang masih berbaki dirumah Bait Ihsan hanyalah Yaacob, Saifullah dan Syed Que.
Yaacob berteleku seorang diri. Sebentar kemudian dia mengalih posisi duduk. Menyandar pada rak buku besar biliknya. Matanya bersinar memerhati keadaan di dalam bilik. Ada waktu dia mengukir senyum lebar, ada waktu dia berkerut seribu. Perasaan yang bercelaru. Tanpa sedar ada sepasang mata yang asyik memerhatikannya dari jauh. Bagaikan sang pemerhati itu cuba menangkap setiap makna tersirat disebalik perilaku Yaacob.
“Ah, dunia memang begini. Ada sahaja halnya. Siapa di dalam dunia ini tidak pernah menerima pukulan cinta… Atau tamparan rindu? Sejahat atau sebaik mana pun manusia, pasti semua orang pernah melalui waktu senang dan susah… .”
“Berimankah atau kufurkah manusia itu tetap mereka akan melalui saat-saat pahit dan manis dalam meniti jejak kehidupan. Bohonglah kalau dikatakan hidup ini mendatar sahaja. Pasti ada turun naiknya. Begitulah aku.” Desis Yaacob sendirian. Berkata dua dengan dirinya.
Saifullah tiba-tiba ke bilik Yaacob. Kepuasan. Mahu mencari teman berbual. Yaacob mempersilakan sahaja temannya itu. “Pernah kau rasa susah hati Saiful ?” Yaacob membuka topik perbualan. Saifullah menggangguk-angguk.
“Mesti la pernah. Aku pun dah hidup lebih 21 tahun lah Yaacob. Takkan sekali pun aku tak pernah susah hati. Tapi semua itu ada makna. Ada tujuannya ia hadir dalam hidup kita.”
“Betul. Eh, engkau nak tau tak? Tadi masa aku seorang diri kat bilik ini, macam-macam kenangan dan pengalaman hidup aku imbau balik. Rasa gembira ada. Rasa sedih pun ada.”
“Serius la kau ni? Asal Yaacob? Homesick ke angau ke apa?”
“Ish mana ada angau. Pemuda mana boleh angau. Kan Ustaz Mahmud dah pesan. Zaman muda jangan sibuk bercinta.”
“Nak kata homesick pun tak jugak. Aku okay je cuma entah kenapa tiba-tiba pengalaman hidup nak dimainkan semula?”
“Itulah khibroh ya akhi. Pengalaman… pengalaman ni guru kita. Memang dalam hidup ni, ada waktu-waktu, Allah bagi kita imbau balik semua tu.”
Saifullah menambah lagi, “khibroh penting Yaacob. Dari pengalaman lah para pemuda macam kita mendewasa dan menjadi orang tua. Orang kata apa… orang tua makan garam dahulu dari kita.”
Pemuda-pemuda Islam yang hebat hadirnya mereka ke medan jihad semuanya bermula dengan ilmu dan pengalaman hidup mereka. Khibroh yang mereka tempuhi menjadikan mereka mempelajari sesuatu. Boleh jadi khibroh yang kita alami itu adalah titik hitam dalam hidup seseorang.
Mungkin jua khibroh itu hadirnya dalam bentuk sejarah putih suci yang akhirnya mengingatkan kita kembali. Walau apa pun, pengalaman yang di lalui manusia biarlah khibroh itu menghalakan dia kepada jalan Tuhannya. Sehinggakan mereka menjadi para pemuda Islam yang dicintai Tuhan.
“Malam-malam sepuluh akhir ramadhan ni sebenarnya aku rindu dengan suasana Masjid An-Nur. Ia membuatkan aku rasa ingin menangis bila dikenang semula. Dari situ aku menerima pancaran cinta Ilahi. Dari situ jualah aku menghirup ruh perjuangan sang rasul mulia. Saw.” Yaacob meluahkan rasa yang terbuku dijiwanya.
“Dan sebenarnya, senja tadi aku menerima khabar duka dari Imam Masjid An-Nur bahwa seorang ahli jemaah masjid yang aku kenali telahpun pergi menghadap Ilahi… .” Malam yang tadinya sepi kini jadi hiba. Sesungguhnya kita tidak melalui pengalaman hidup dengan watak kita seorang diri.
Bahkan pada setiap episod hidup kita, ada watak-watak yang mewarnai jalan cerita liku-liku hidup kita. Kehadiran watak yang meninggalkan bekas dihati kita. Que yang sedari tadi hanya memerhati kini mula merapati. Dia sendiri banyak belajar dari memerhati watak manusia. Dia pun jadi bersimpati dengan Yaacob.
‘Maka tamatlah Cerpen – Khibroh : Pemuda Dan Ramadhan untuk Musim Yang Pertama Ini’
Zainuddin
9 Julai 2015
Alexandria.
Comments
Post a Comment