Cerpen: 'Hayati Yang Hilang'
Pentas Laut China Selatan menjadi tempat aku bermukim rasa. Perasaan yang selama ini ku pendam, biarlah hari ini aku luahkan segalanya. Biar aku ceritakan pada lautan yang tak bertepi pandang agar muat segala rasa melimpah dari hati yang kian hari kian melemah.
Buat seketika, aku melarikan diri dari kerumun orang ramai. Tak tahu pada siapa harus aku ceritakan. Namun, yang pasti lautan sentiasa menyambutku dengan alunan merdu ombak. Bersama desir angin yang membelai.
Hayati.
Kehidupanku.
Hayati, ku maksudkan disini bukanlah nama orang. Walaupun lafaznya sama bunyi dengan nama kekasih hati Zainuddin, pemuda yang ditimpa malang, cinta dicurangkan. Dalam karya Tenggelamnya Kapal Ven De Wick.
Hayati, kang ku ertikan adalah hidupku. Dari Bahasa Arab. Bahasa yang ku kagum selalu.
Setahun dua ini, aku merasa hayati-ku hilang. Entah siapa yang mencurinya. Entah tenggelamnya dilaut mana.
Hidupku dulu sentiasa dalam seronok. Walaupun sukar, sekalipun susah, Aku masih seronok mengisi hari-hari hidupku. Dulu, Aku tak takut untuk gagal. Tak risau kalah. Tak bimbang kehilangan.
Dalam pelajaran, ilmu baru, walau dikata orang susah, bagiku, tak ada masalah. Asal saja ku temui kuncinya, kalau aku rajin belajar, pasti ku akan pandai jua dengan izin Tuhan.
Memasuki peperiksaan bukanlah suatu perkara besar yang menyebabkan aku berputus asa atau tidak berusaha. Kan ku duduki peperiksaan, sekalipun tidak banyak yang dapat ku jawab. Masuk dengan senang hati, keluar dengan senang hati. Insyallah berjaya. Tapi andai memperoleh markah rendah atau gagal, tak mengapa. Kerna ku akan belajar dari silap. Lantas peperiksaan kemudiannya, aku sudah pandai suatu yang dulu ku tak pandai. Belajar melalui kesilapan.
Dulu, 'hayati' berbeza. Bila terdengar azan, jasad segera hadir ke masjid. Mencari rahmat dan berkat pada saf-saf solat. Tapi hayati sekarang, bagaikan jenazah yang kaku, tak tergerak. Allah, Aku rindu pada hayati yang dulu.
Saat ini, hayati jauh bezanya. Hayati seumpama seorang pemuda yang kekecewaan cinta pertamanya. Yang tidak mahu bangkit berusaha. Yang sentiasa memandang negatif pada setiap sisi kehidupan. Yang sudah patah semangat hidup. Yang sudah tidak kisah lagi apa mahu jadi.
Sebelum memejam mata dikala malam menjelma, hayati hanya mahu satu perkara. Iaitu agar tidak celik lagi esok pagi. Mahu saja hidupnya berakhir. Walhal, dia ingkari fakta bahawa kematian adalah sambungan kepada kehidupan yang lebih panjang.
Hayati saat ini, takut untuk melakukan silap. Takut jika gagal walaupun belum berusaha. Hilang motivasi untuk belajar sesuatu Yang baru.
Keseronokan hidupku sirna. Hayati benar benar hilang. Getus suara hatinya.
"Zainuddin! Siapa yang rampas cintamu? Siapa yang tenggelamkan bahtera impian hidupmu? " Tidak semena-mena suara Kak Hajar menyeru. Nadanya penuh amarah. Ibarat melarang keras.
Zainuddin belum lagi menoleh ke belakang. Matanya masih terpaku Dalam lamunan Yang jauh. Jauh ke tengah lautan.
"Andai kau rasa, hayati-kau sudah hilang, mengapa tidak kau jejak dia kembali!" Amarah lagi.
"Mengapa kau begitu dangkal dilemahkan oleh bisikan syaitan. Yang tak suka melihat kau kembali kuat." Seruan kakak meniupkan kembali semangat jihad.
"Janganlah mengalah wahai adikku. Sekalipun kau takkan berjaya kembalikan hayati-mu yang dulu, berusahalah agar hayati-mu yang baru mirip hayati yang dulu.
"Tapi kakak... " Zainuddin menoleh ke belakang. Namun Kak Hajar sudah hilang jejak. Yang terlihat adalah jam dinding.
Ah, sudah tiba masanya untuk ke tempat kerja.
Terima kasih kakak. Kan ku cari hayati yang hilang. Sungguh, rinduku padanya bukan kepalang lagi.
Mimpi yang penuh beremosi!
Zainuddin, Sang Pemimpi.
25 April 2019.
Kuala Terengganu.
Comments
Post a Comment