Cerpen : SURAT UNTUKKU 10 TAHUN AKAN DATANG
“Hampir sepuluh tahun… tapi aku masih setia dengan benda ni.” Keluh Ayyash disuatu
petang. Jujurnya sudah berkali-kali dia berazam untuk berhenti membuat tabiat
buruknya itu. Namun dia sering tertewas. Apakah kali ini dia bakal berjaya?
Dirinya sendiri seakan ingin berputus asa.
“Mengapa asyik mengeluh Ayyash? Hidup je dengan gembira.”
Zakuan menyapa sahabatnya dari belakang. Sedari tadi dia memerhatikan gelagat
rakannya.
“Ni benda ni… dah lama aku nak tinggal. Nak lepaskan dari
hidup aku tapi tulah… ” Ayyash berkata sambil menunjukkan sebatang rokok yang
sedang dihisap.
“Dah lima tahun kita berkawan. Aku pun dah lama nak bagi
nasihat kat kau. Tapi tulah, tak terkata. Malu yang tak bertempat.”
“Tapi kau jangan risau Ayyash. Ada ulama pesan, kalau kita
nak berubah, kita hanya perlukan tiga prinsip.” Zakuan berkongsi ilmu yang
dimiliki.
“Pertama, anniyyah.
Niat. Kedua, azzam. Tekad. Ketiga, attaubah. Taubat yang berterusan.”
Ayyash mengangguk-ngangguk mendengar pesan rakan baiknya.
“Tapi kau pun tahu kan. Ramai perokok sebenarnya mahu
berhenti merokok tapi mereka sering gagal macam aku. Kalau dapat berhenti pun
sekadar sehari atau seminggu dua sahaja.”
“Lepas tu dah tak boleh tahan dah. Dia punya rasa untuk
merokok tu akan datang membuak-buak. Yang tu susah nak lalui tu. Rasa dia tu,
hanya perokok macam aku je tahu.” Keluhan berat mengiringi kata-kata Ayyash.
Penuh kehampaan.
“Begini Ayyash, kau buat tiga prinsip tadi. Kau niat
betul-betul. Tekad sungguh-sungguh dan kau mesti menyesal dan bertaubat kalau
kau buat balik benda ni.”
“Aku ada terbaca macam apa yang kau cakap tadi. Dan
kebanyakan perokok berjaya meninggalkan rokok selepas lima hingga 10 kali
percubaan yang tekad. Nak kata apa? Nak katanya, kau kena sabar dan terus berusaha
walau kau gagal. Dan aku ada kalau kau perlukan nasihat.”
“Beruntung aku dapat sahabat seperti kau.” Ayyash
menepuk-nepuk bahu Zakuan.
“Aku cuba insyallah.” Keazaman membenih didalam hati Ayyash.
“Moga Allah bantu kau.” Zakuan mendoakan rakannya.
***
Zakuan melangkah turun dari Tram di stesen Syatby. Dia
bergerak menuju ke arah Hospital bersalin dan sakit puan.
“Zack! Zack!” Zakuan menoleh ke belakang. Ayyash melambai
dari jauh.
“Amboi kau. Berjalan tak pandang orang.”
“Berzikir. Haha.” Zakuan
melawak.
“Kau nak tahu? Aku dah stop
smoking selama tiga hari.”
“Subhanallah. Tahniah! Keep
it up!” Zakuan mengeluarkan sepucuk surat dari beg galasnya.
“Aku ada something
untuk kau. Aku rasa kau takkan mensia-siakan apa yang ada dalam surat ini. Baca
selepas kau dah balik kelas nanti. Jangan buka sekarang. Segan pula aku nanti.”
Zakuan menyerahkan hasil tinta yang terbit dari hatinya.
“Terbaik bro. Aku appreciate benda ni walaupun aku tak
tahu apa yang kau mengarut dalam ni. Hahaha.”
“Macam perempuan kan? Main tulis surat.” Zakuan turut
melawak. Jauh disudut hatinya, hanya itu cara yang terbaik untuk dia
menyampaikan pesanannya pada rakan baiknya itu.
***
Bermula sehari kemudian menjadi seminggu. Dari seminggu
menjejak ke sebulan. Dari sebulan menjadi dua bulan. Pantas masa berlalu.
Ayyash melalui fasa turun dan naik. Sekejap dia berhasil mengawal keinginan
merokok dan sekejap pula dia kembali merokok. Kelas Obstetric and Gynecology selama dua bulan sudah pun berakhir. Pihak
universiti telah pun memberikan tempoh dua minggu sebagai study leave.
“Dah seminggu aku duk rumah je. Baca buku, makan dan solat.
Pastu baca buku balik. Aku rasa nak ziarah rumah Zakuan lah hari ni.” Ayyash
bermonolog. Sebenarnya dia ingin berterima kasih kepada Zakuan atas nasihat dan
pesanan-pesanan yang selalu dia terima.
Ayyash mengetuk pintu rumah Zakuan perlahan-lahan. Hilmi,
teman sebilik dan serumah Zakuan membuka pintu sambil mempelawa masuk.
“Mana Zakuan?”
“Tak tahulah aku. Tadi aku solat Asar dengan dia. Selepas
solat terus aku balik rumah. Tak tahulah ke mana dia tuju selepas tu. Tapi dia
asyik tersenyum-senyum je masa dalam perjalanan ke masjid Nur Islam tadi.”
Panjang lebar Hilmi bercerita.
“Chirp…” “Chirp…” “Chirp…” Bunyi loceng rumah ditekan. Hilmi
segera bangkit membuka pintu. Jirannya, Ammu Fuad tercongak didepan pintu. Dia
juga selalu ke masjid Nur Islam. Malah dia bertugas sebagai siak masjid. Wajahnya
kelihatan sugul.
Perlahan-lahan dia mengeluarkan dompet dari poketnya.
“Ini dompet Zakuan kan?”
“Ya. Memang betul.” Hilmi mula dihujani berbagai persoalan.
“Apa yang terjadi pada Zakuan? Mengapa dompet dia ada bersama
Ammu Fuad?”
“Bagi Allah apa yang Dia berikan. Bagi Allah apa yang Dia
ambil. Sesungguhnya dari Allah kita datang, dan kepada Allahlah kita akan
kembali.” Ammu Fuad memeluk Hilmi. Hilmi meraung kesedihan.
“Zakuan…!!!” Lagi seminggu peperiksaan semester dua tahun
lima bakal berlangsung namun Zakuan telah pergi meninggalkan mereka.
“Betulkah Ammu Fuad? Zakuan masih muda. Umurnya baru 23
tahun. Dia masih belum tamat belajar.” Ayyash seakan tidak percaya.
“Dimana jenazah Zakuan sekarang Ammu?” Tanya Ayyash sambil
menyapu air mata yang berlinangan. Satu kejutan yang sukar diterima.
***
Pulang dari pengkebumian Allahyarham Zakuan, Ayyash kembali
ke rumahnya. Satu fail di ambil. Sepucuk surat dikeluarkan. Lalu dibacanya.
………………………………………………………………………………………………….
Kehadapan
sahabatku, Ayyash Bin Hisham.
Moga
Allah selalu membantu kau untuk berubah.
Suatu
hari, sewaktu aku ingin ke bangunan Asrama MARA di Sizostris untuk mesyuarat
AJKT PCI. Aku telah menaiki sebuah teksi. Disini aku ceritakan kembali apa yang
aku lalui.
“Sizostris?”
Zakuan menahan sebuah teksi kuning hitam. Pengangkutan ketiga pilihan mahasiswa
Iskandariah selepas Tram dan Tramco.
“Aiwah.
Tafaddol.” Pemandu teksi mempelawa masuk.
Zakuan
senang dengan pelawaan mesra begitu. Sungguh beruntung kalau bertemu pemandu
teksi yang peramah dan baik begitu. Zakuan memberi salam lantas duduk dikerusi
sebelah pemandu. Tiba-tiba matanya tertarik pada satu kertas yang ditampal di
bucu cermin depan kereta.
Tertulis;
“Dilarang merokok!” Tertegun dia membacanya. Sangat jarang Zakuan temui pemandu
yang tidak merokok.
“Kamu
tidak merokok?” Zakuan melontar persoalan yang kelihatan kurang bijak.
Persoalan itu hanya sebagai pembuka bicara.
“Sudah
tentu. Kau pun dah baca apa yang aku tulis tu kan?”
“Kenapa
kau tak merokok sedangkan orang ramai merokok?” Sekali lagi Zakuan cuba
memprovokasi. Dia tergelak.
“Kamu
pelajar perubatan kan? Kamu pun dah tahu. Rokok tu menyebabkan bermacam
penyakit kronik. Kanser peparu, kanser kerongkong, strok, mudah terkena
jangkitan, mati pucuk dan banyak lagi.” Zakuan mengiyakan.
“Bahkan
orang yang merokok ni, mulut selalu berbau busuk. Membahayakan orang
sekeliling.”
“Saya
setuju dengan Pak Cik. Kita yang tidak merokok akan menjadi perokok pasif.
Kadang kesan buruknya, kita yang terjebak lebih dari perokok.”
“Tapi
kan Pak Cik, kenapa masih ramai orang merokok?” Zakuan seakan belum puas.
“Mungkin
sebab orang tak nampak kesan langsung dari merokok. Orang yang menghidap kanser
biasanya pada usia yang sudah tua. Selepas berpuluh tahun merokok.”
Itu
sahaja cerita aku dan Pak Cik tu. Tapi sahabatku Ayyash, teruslah berusaha
untuk berubah. Aku tahu kau pasti akan melalui saat jatuh dan bangun dalam usaha
untuk berhenti merokok. Berusahalah, sesungguhnya aku akan terus menyokong
engkau selagi aku mampu.
Jika
kita berhenti merokok bermakna kita telah menolong ramai orang. Menolong diri
sendiri dari membazir wang dan memelihara kesihatan. Menolong masyarakat agar dapat
menikmati udara yang bersih. Sekaligus terhindar dari bahan-bahan karsinogen
yang berhembus dari rokok.
Suatu
hari nanti, jika kau sudah berhenti merokok maka kau bantulah sahabat-sahabat
kita yang masih merokok untuk berhenti merokok. Aku sangat bercita-cita untuk
melihat dunia ini bebas dari asap rokok. Aku sangat mengidamkan agar tiada lagi
saudara-mara kita yang berpenyakit kronik kerana sebatang rokok.
Sepuluh
tahun nanti, kita akan bersama-sama bekerja sebagai pegawai perubatan,insyallah.
Golongan white coat. Itu kalaulah Allah
memanjangkan umur kita. Sekiranya waktu itu, kau masih merokok lalu bagaimana
seorang pegawai perubatan yang serba tahu tentang bahaya rokok akan dapat
menasihati masyarakatnya?
Berubahlah
sebelum terlambat.
Sesungguhnya
aku menyayangi kamu wahai sahabat sebagaimana aku menyayangi diriku.
Nasihatilah aku jika aku terlupa dan tersilap. Aku juga banyak kelemahan yang
perlu diperbaiki.
“Allah
menyuruh manusia makan perkara yang halal dan baik tapi mengapa manusia mengambil
sesuatu yang membahayakan masa depannya. Apakah akal sudah kalah dengan hawa
nafsu mereka?”
Simpanlah
surat ini sebaiknya agar sepuluh tahun nanti kau dapat membacanya semula. Saat
kau teringin untuk kembali merokok, bacalah tulisan aku ini. Mudah-mudahan ia
mampu mencelikkan akalmu itu.
-
Zakuan
Bin Mahmud –
-
31
Julai 2010 -
………………………………………………………………………………………………….
-TAMAT-
Ditulis oleh : Omar Nuruddin Bin Zahari
Sempena Health Week 2016
Pelajar Tahun 5 Kuliah Perubatan
Batch Stanza Mahabbah
Universiti Iskandariah.
Comments
Post a Comment