Cerpen : 31 Julai
Pagi itu kami memulakan perjalanan seperti yang dirancang.
Saat waktu Dhuha masih segar. Sang Mentari juga masih belum garang. Pada hari
Khamis. Aku dan semua ahli keluarga memenuhkan perut kereta. Kami menaiki
sebuah kereta Vios dan sebuah
Perodua Myvi. Dua buah kerete meluncur
laju membelah jalan raya.
Aku yang berada di sebelah Abang Ngah yang sedang memandu
tetap setia memerhati jalan-jalan yang dilalui. Suatu hari nanti, aku bermimpi mahu menjadi pemandu kepada ibu dan ayah. Aku
cuba menghafal laluan yang digunakan.
Kereta Myvi kuning terang itu mula memasuki lorong ke rumah
arwah atuk. Di kiri kanan kereta, semak samun tebal dan meninggi. Sememangnya,
lorong itu jarang dilalui kereta dan lori besar. Penduduk sekitar kampong
Telaga Geran ini pun sebenarnya lebih suka menggunakan motorsikal. Kereta yang
ku naiki melalui denai itu dengan berhati-hati kerana bimbang jika ada pelepah
kelapa yang jatuh menghalang jalan.
Akhirnya kami tiba ke satu lorong yang menuju ke sebuah rumah
usang. Rumah itu hanya dipagari hutan rimba. Pokok kelapa berbelas-belas batang
menjadi pagar kawasan. Kereta terus
dipandu hingga betul-betul dihadapan rumah usang itu. Rumah arwah atuk Awang
Bin Hassan. Walaupun rumah ini sudah usang tetapi ia tetap berpenghuni. Aku
melemparkan pandangan ke sekitar halaman rumah. Bersih dan kemas.
Aku segera membuka pintu kereta dan keluar perlahan-lahan.
Berpusing-pusing memandang ke sana-sini. Terasa nyaman sekali. Aku menghirup
udara kampung yang sungguh segar dan bersih. Selamat dari pencemaran udara
tidak seperti di kota raya.
Bunyi burung Murai jantan berkicauan di atas dahan pokok Kuinin
meriah sekali. Ayam jantan berkokok turut kedengaran. Kedengaran juga bunyi
Tupai sayup-sayup dibalik pokok kelapa. Telingaku menangkap cekap setiap bunyi
yang hadir. Wah, betapa damainya hidup disini. Kerukunannya terasa sekali. Aku
memerhati dari jauh pintu rumah arwah atuk yang masih tertutup rapi.
Aku berjalan ke belakang rumah mencari seseorang. Sebentar ku
lihat kelibat seorang pemuda berbaju hijau tua sedang menarik dua ekor lembu
menuju ke arah rumah arwah atuk Awang atau panggilan mesranya ‘Ayah Awang’. Pemuda itu kemudian mengikat tali lembu ke
batang pokok mangga besar di belakang rumah.
Lalu dia meletakkan sebekas plastik besar berisi air bersih.
Ya, waktu tengah hari begini lembu mesti di tambat di bawah pokok untuk
berteduh dan diberikan air untuk mereka minum. Semua itu adalah pelajaran yang
kami pernah dapati dari orang-orang terdahulu. Betapa mereka sangat ihsan
terhadap binatang.
“Assalamualaikum, Abang Nuruddin apa khabar ?” aku segera
memberikan salam apabila Nuruddin mulai maju ke arahku. Sambil berjabat tangan,
ku iringi bersama senyuman setulus hati. Kerana lama tidak bersua dengannya,
Aku mendakap batang tubuhnya yang semakin sasa itu.
“Waalaikumussalam, eh, adik Zainuddin. Abang Alhamdulillah,
sihat wal afiat. Bila balik sini ?” respon balasnya mengujakan aku. Ya, dia
adalah abang dan aku adiknya. Umur kami hanya berbeza beberapa minit.
“Seminggu sudah bang. Bang Nuruddin, semua orang datang rumah
atuk hari ni.”
“Oh, baguslah. Mari kita naik ke rumah atuk. Minum-minum air
dulu. Kalau nak makan pun boleh… .” Abang Nuruddin mengajak mesra. Biarpun
sudah lama kami tidak bertandang ke sini namun Abang Nuruddin tidak pernah
sekali berubah hati. Akhlak yang mulia sudah erat dan kemas pada peribadi sosok
ini.
***
“Adik Zainuddin, jom ikut abang solat asar.” Aku yang sedang
berehat-rehat di anjung rumah atuk segera menyahut. Lantas ku capai kopiah
putih pemberian Pak Cik Amin.
Lalu ku berwudhuk di paip di hadapan rumah arwah atuk. Abang
Nuruddin sudah siap dengan pakaian solat sedang menunggu di atas motorsikal
Honda petak C70 milik arwah ayah Awang.
Motor berwarna biru itu masih gagah membelah denai. Selesai
berwudhuk kami segera membonceng ke arah masjid Yaakubiah Mukim Nipah. Ahli
keluarga yang lain ditinggalkan untuk menjaga rumah.
***
Usai solat asar berjemaah, kami berdua menuju ke tempat letak
kenderaan masjid disebelah tempat berwudhuk. Di situ, aku sempat bertemu Pak
Hamid kawan karib arwah atuk. Sewaktu kecil-kecil dahulu kami selalu dibawa
atuk ke rumah Pak Hamid. Pak Hamid masih
sihat walau umurnya sudah mencecah 82 tahun.
“Abang Nuruddin nak ke mana selepas ini ?” Aku yang membonceng
dibelakangnya mulai bertanya apabila
Abang Nuruddin tidak melalui jalan ke rumah atuk tetapi dia memilih jalan ke
arah rumah besar milik Mat Salleh berbangsa Britain. Rumah itu satu-satunya
rumah bangsa asing disini. Walaupun begitu, rumah itu tidak asing lagi buat
kami semua kerana disebelah rumahnya ada lorong kecil menuju ke arah pantai. Sejak
kecil, inilah ‘pantai rahsia’ kami. Tak ramai yang tahu kerana ia terlindung
dibalik rumah besar itu.
“Cuba Adik Zainuddin teka ? ” Abang Nuruddin berteka-teki
dengan aku.
“Nak ke pantai ? Buat apa ? Tak kan nak mandi pantai ?
Zainuddin tak bawa baju ni.” Abang Nuruddin memberhentikan motorsikal dibawah
pokok Rhu besar. Dia mengajak aku ke pantai. Aku mengikutinya dari belakang.
Soalan ku masih belum terjawab.
“Zainuddin mari sini cepat.” Abang mengajak aku untuk duduk
di atas tunggul kayu mati yang dihanyutkan dari laut. Aku menurut saja.
“Macam mana pelajaran kau dalam bidang Perubatan ? Baikkah ?”
“Alhamdulillah, setakat ni semua masih baik. Tapi tak
cemerlang sangat lah. Abang pula macam mane ? Dah habis menuntut ilmu-ilmu
pondok ?”
“Ish , Zainuddin ni. Cuba perhatikan laut tu. Luas kan ? Haa,
ilmu agama macam tulah. Takkan habis walau menuntut beribu tahun pun. Ilmu yang
abang belajar baru setitik je ibaratnya.”
“Abang,perasan tak sekarang ni kita sama-sama kejar
cita-cita. Saya masih ingat masa abah tanya kita dulu, nanti besar nak jadi apa
?”
“Abang Nuruddin kata abang nak jadi macam tuan guru Umar
Nuruddin yang pernah mengajar di Sungai Keladi. Seorang alim dalam agama. Nak
bimbing masyarakat kan ?”
“Ya. Dan Zainuddin pun apa kurangnya. Kata dulu nak jadi
professor dalam bidang saraf. Apa neurologi ? ”
“Tepat sekali ! Neurologi. Bidang saraf. Sekarang ni Zainuddin
baru di tahun tiga. Lagi tiga tahun baru habis peringkat ijazah. Hmm…
panjangnya waktu nak kena belajar kat universiti. Lepas habis ijazah kena ambil
master paling kurang tiga tahun. Lepas tu sambung PHD pula dalam tiga tahun
lagi. Itu pun kalau tak sangkut lah.” Aku sedikit mengeluh. Abang Nuruddin
melirihkan matanya ke arah aku yang sedang mengeluh. Kepalanya digeleng
beberapa kali.
“Zainuddin ingat pesan arwah nenek Maryam tak? Masa kita
berada dalam darjah empat ?” Abang Nuruddin memang hebat. Setiap kata-kata
nasihat yang diberikan kepadanya pasti di ingati. Biarpun sudah bertahun lama.
Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Bahagian parietal tempurung kepala menjadi sasaran.
***
“Kata nenek, Imam Syafie pesan jika nak menuntut ilmu kena
ada enam perkara. Salah satu dari enam tu ialah tuulil zaman… maksudnya masa yang panjang. Takkanlah nak jadi
professor, belajar dua tahun dah cukup. Mestilah panjang supaya banyak
ilmu,banyak pengalaman.” Aku tersengih seperti kerang busuk sambil mengangkat
dua ibu jari kepada Abang Nuruddin.
“Takpa Zainuddin. Belajarlah sungguh-sungguh. Ingat,kita
belajar ilmu ni bukan untuk kita seorang je tau. Bukan untuk diri kita sahaja.
Tapi untuk orang lain jugak.” Keningku terangkat sebelah. Seperti terkejut
mendengar celoteh Abang Nuruddin. Ya, kerana ku sangka jika Aku rajin belajar
ilmu, Akulah yang akan dapat untung.
Dunia maupun akhirat. Tetapi hari ini pegangan ku disanggah Abang.
“Rasulullah saw berpesan yang bermaksud sebaik-baik manusia
itu ialah yang paling bermanfaat kepada orang lain. Ilmu yang kita belajar tu
sebenar adalah untuk kita dapat memberi manfaat kepada orang lain.”
“Orang yang paling banyak memberi manfaat, orang tu lah yang
paling baik. Begitu ?” Aku cuba mengambil kepastian.
“Ya. Tapi mestilah mengikut syariat Allah jugak kan ? Dan
jangan lupa, kita belajar tinggi-tinggi pun sebab kita nak bantu saudara kita.
Tengok Gaza sekarang. Kita masih belum mampu membebaskan bumi umat Islam tu.”
Aku mengangguk tanda setuju dengan pernyataan Abang.
Lalu aku bangkit dari
tunggul kayu menuju ke persisiran pantai. Di gigi air ku capai sebatang kayu
kecil. Ku tulis sesuatu; sebuah kenangan yang bakal menjadi memori Aku dan
Abang. Walaupun kami berbeza kerjaya hidup tetapi sebagai satu-satunya anak kembar
umi dan abah kami tetap satu. Kerana kami memiliki Umar yang sama.
Aku Umar Zainuddin bin Zahari. Dan Abang pula; Umar Nuruddin
bin Zahari. Syukur tanggal 31 Julai ini kami dipertemukan lagi. Masih erat dan
mesra seperti dulu. Kenangan ini pastikan hadir setiap waktu. Mengusikku dikala
sunyi dan sepi.
-Zainuddin-
Pasir Mas
6 Ogos 2014
Comments
Post a Comment