Cerpen: Peninju Kampung


Muaz. Itu nama pemberian atuk kepada anak ke-6 Encik Ismail. Muaz Bin Ismail Bin Yaacob. Membesar bersama atuk membuatkan minat Muaz pada motor sedemikian mendalam. Sedalam cinta Zainuddin pada Hayati barangkali.

Encik Ismail walaupun seorang Guru Fizik namun dia gemar pada gusti dan tinju. Suka dia kalau boleh menyaksikan temasya tinju. Barulah jantan katanya. Natijahnya, Muaz di ajar bertinju sedari empat tahun. Sekarang usia Muaz sudah 25 tahun.

Pengaruh atuk dan ayah telah mencorakkan hidup Muaz. Peninju Kampung dan Penggila Motor.

"Ayah mahu kamu fokus pada latihan tinju. Biar esok-esok kamu akan jadi peninju sehebat Muhammad Ali." Nama Peninju tersohor dunia di ungkit. Itulah peninju nombor satu dihati ayah.

Muaz menurut saja walau hatinya lebih berat untuk menjadi pelumba motorsikal. Seringkali juga dia lemah hati memikirnya hala tuju hidupnya. 'Ah kalau tidak boleh menjadi pelumba motor, aku tak mahu hidup lah.' Sering juga dia mengulang begitu. Lagi-lagi kalau 'performance' tinjunya tidak seberapa.

* * *

Tanggal 1 Jan 2003, itulah tarikh keramat dalam sejarah tinjunya. Permulaan dunia tinjunya. Encik Ismail percaya benar pada potensi yang ada dalam diri Muaz. Kata Encik Ismail, dalam diri Muaz ada raksasa tinju yang bakal menyerlah. Lebih hebat dari Musang Ekor Sembilan kepunyaan Naruto!

"Buktikan Muaz!" Laung Ismail dipenjuru sana. 

Anaknya berentap pertama kalinya digelanggang Tinju Kg. Taman Munira. Hasan jadi pesaing. Dengan mudah saja Hasan dikalahkan. Tak tahan dia dengan pukulan penumbuk padu dari Muaz. Terus menyerah kalah. Sedari itu Muaz mula nampak potensi dirinya. Dia jadi percaya kata-kata ayahnya.

* * *

Tarikh 2 Feb 2004, satu kejohanan Tinju peringkat Daerah Golden Sand telah berlangsung. Sejarah Emas sekali lagi berjaya dilakar oleh Muaz. Semua 27 peninju kampung berjaya ditundukkan dengan 'buah kilas'nya yang diwariskan ayah. 

Muaz mulai menapak maju ke peringkat Negeri pula. Akan tetapi, sayangnya pada motor belumlah pudar. Muaz sendiri berjanji akan menjadi pelumba motor jua suatu hari. Pandai juga dia mengambil kesempatan dari ayahnya. 

"Ayah, belikanlah saya hadiah kesukaan saya." Ujar Muaz suatu petang.

"Hadiah apa saja Muaz mahu, ayah akan tunaikan. Muaz memang patut ayah hargai." Tanpa disangka, anaknya meminta dibelikan Motor Kawasaki Z800. Terpaksa dia akur kerna bimbang prestasi Muaz merudum. Muaz syok bukan kepalang.

* * *
Pagi malam Muaz menghabiskan masa dengan 'Kuda Merah'. Dibasuh, digilap, dibawa berjalan malah dibuat teman berbual-bual. Sedikit masuk air otaknya sejak mendapat Kuda Merah. Latihan tinju sudah kurang diberi perhatian. Dulu setiap petang dan malam Muaz bersiku lutut. Kalau bukan guni pasir atau batang pisang Berangan, kawan-kawanlah yang jadi sasaran. 

Tambah jadi-jadi, apabila atuk turut serta. Bertemu sahaja Muaz, cerita motorlah jadi topik nombor satu, dua dan tiga. Dari cerita tayar motor hinggalah pelumba motor dunia. Angin betul Atuk Yaacob dengan motor. 

Sekalipun begitu minat mereka dengan tinju dan motor, namun hasil didikan nenek moyang, mereka patuh beragama. Solat lima waktu pantang ditinggalkan. Solat berjemaah di masjid masih dalam jadual harian.

* * *

3 Mac 2005

"Buat yang terbaik Muaz!" Laung ayah sambil mengisyaratkan penumbuk. Makna ayah tumbuk lawan sampai jatuh! Anak Encik Ismail mesti menang.

Kali ini Muaz akan beraksi dalam perlawanan Tinju Peringkat Negeri. Peninju berbagai kaum hadir jadi peserta. Jika sebelum ini, dengan mudah Muaz mengalahkan lawan tetapi kali ini lain padang lain belalang. 

Muaz ditentukan bertemu peninju hebat dari White Sand. Peninju kaum Cina. Gelarannya Naga Pantai. Namanya Chong Wei. Persis nama Pemain Badminton nombor satu negara.

Tumbukan padu Muaz kadang berkesan, kadang menghampakan. Lincah juga si Chong Wei mengelak. Mungkin jiwanya memang sebati dengan tinju. Tidak pula untuk Muaz. Jiwanya terbahagi dua. Fokusnya bercabang. Motor dan tinju jadi pertarungan akal. Semangat untuk terus maju dalam dunia tinju sudah semakin kemarau. Semakin tandus dari hujan cita-cita dan cinta.

Muaz berusaha mencapai kemenangan tetapi tidaklah sepenuh jiwa raganya. Kalau kalah pun tak apa. Boleh dia mengundur diri dari dunia minat ayahnya itu.

Dia menghayun penumbuk ke rusuk kiri lawan. Kaki kanan pula siap melibas kaki. Chong Wei cemas. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Selincah-lincah Chong Wei mengelak akhirnya termakan juga penumbuk padu campur kepala lutut dari Muaz. Puas hati Muaz.

Masih awal untuk menyerah. Chong Wei bukan datang untuk kalah tapi untuk menang. Dia undur sedikit lantas menyusun serangan balas. 

Sekelip mata, dada Muaz di pukul padu. Di iringi libasan halilintar Chong Wei ke rusuk kanan lawan. Muaz jatuh. Tidak mampu bangun lagi.

Muaz sedih dalam gembira. Sedih kerna dipukul keras. Gembira kerna dunia tinju barangkali akan berakhir. Dunia lumba motor terbayang-bayang. Muaz lihat kelibat Kawasaki Z800 terbang di udara. Bunyi ekzosnya menenggelamkan suara sorakan penonton. Suara sedih Encik Ismail juga tidak kedengaran. Muaz pengsan.

Muaz termenung panjang. Jauh. Hayatnya masih panjang. Kisah hidup belum bertemu penghujungnya. Dia belum boleh mati. Mati pun tidak ingin menjemputnya lagi. 

"Patutkah aku meneruskan lagi dunia tinju ku?"

"Patutkah aku lupakan segala potensi tinju yang telah mendarah daging dalam hidupku?"

"Bilakah aku akan dapat mengahwini dunia perlumbaan?" Sugul Muaz sendirian. Ombak pantai Batu Burok maju mundur persis jiwanya.

Bangkitkah atau biar saja kekalahan jadi khatimah sejarah.

Muaz,
Petinju Yang Kalah Mengalahkan Chong Wei.
1/4/2020




Comments

Popular posts from this blog

Cerpen : Hijrah

Smart Circle : Dentistrone ' Apa guna Tazkirah? '

Cerpen: 'Hayati Yang Hilang'