Cerpen: Kasih Ibu Ayah
Ayah dan ibu
Ayah dan ibu
Itulah permulaan Kami
Dapat melihat Bulan Dan matahari
Serangkap lirik sebuah lagu nyanyian Allahyarham Sudirman, mengusik rasa.
***
SATU
Disebuah kedai makan. Udin sedang makan seorang diri. Nasi kerabu ayam berempah jadi pilihan. Nescafé panas jadi hirupan malam.
Selang dua meja, Udin melihat gelagat sebuah keluarga. Ibu ayah bersama empat orang anak yang masih anak remaja. Mereka makan semeja.
"Ibu nak ibu." Ujar anak kedua bongsu seraya menganga mulut. Tangan si ibu yang penuh kasih sayang, menyuapkan anak makanan. Si anak gembira.
Udin diserbu seribu rasa. Mata berkata suatu kehangatan dirasa. Manik jernih seakan mahu terbentuk. Ditahan. Air mata jantan tak jadi keluar namun dihatinya banjir sudah.
Udin teringat kasih bonda.
"Din, mari sini. Umi suap kuih lompat tikam ni. Sedap ni." Suara ibu bagai bergema.
***
DUA
Dikedai makan yang masih sama, Udin meneruskan suapan. Nasi kerabu sudah tinggal separuh. Matanya beralih ke jihat sebelah kanan mata. Sebuah keluarga sedang menikmati makan malam jua. Seorang ibu, seorang ayah dan dua kanak-kanak.
"Ayah. Ayah. Adik mengantuk." Ujar anak perempuan itu. Manja. Lantas si ayah meraih anaknya. Si anak kecil melentok kepalanya yang dihurung mengantuk.
Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Bahu ayah yang sasa, jadi bantal empuk.
Nafas ditarik dalam. Berat. Penuh rongga dada. Udin teringat kasih ayahanda. Dulu, masa jasmaninya masih kecil molek, ayah selalu mendukung anak-anak.
Bila menangis, ayah dukung lalu memujuk kita sambil menunjuk itu dan ini. Supaya sejuk hati anak yang sedang amuk.
Masih terasa hangatnya dakapan seorang ayah. Rindu.
***
TIGA
Usai memenuhi keperluan makan malam, Udin meninggalkan Restoran itu. Sewaktu berjalan menuju ke tempat letak basikal, Udin melintasi deretan kedai baju.
Matanya menangkap kerenah remaja kecil bersama ibu ayah disebuah kedai pakaian. Agaknya anak tunggal barangkali.
Si ayah memegang si kecil. Si ibu pula cuba mengukur saiz baju Melayu pada badan anak. Si anak meronta-ronta mahu lolos. Tak mahu beli baju. Mahu beli mainan.
"Abang taknak baju." Ujar anak merengek manja.
"Abang nak kereta control."
"Nak kereta control." Ujar si anak lagi. Si ayah melepaskan anaknya. Ragam si kecil. Sabar jadi teman. Pada fikiran, si ayah menghitung kewangan keluarga. Keperluan dan kemahuan diletak pada neraca pertimbangan. Sabar kembali dihimpun.
Udin tetap memerhati dari kejauhan. Mendoakan si ayah, si ibu dan si anak. Moga kalian sentiasa dalam jagaan Tuhan.
"Udin, saiz baju M ke L?" Tiba-tiba Ayah bertanya lewat panggilan telefon.
"Hmmm... L." Ujar Udin spontan.
"Okaylah. Ibu nak belikan sehelai baju untuk Udin." Ayah memaklumkan.
Dialog dua bulan lepas tiba-tiba singgah ke mari pada kotak ingatan.
Udin teringat pada kasih Ibu Ayah.
- Tamat -
Nuruddin,
Anak kecil dinegeri orang.
28/12/2019
Comments
Post a Comment