Cerpen : Zainuddin Sang Pemimpi


Cerpen: Zainuddin Sang Pemimpi (1)

"Kita... harus mengakui kelemahan... kekurangan dan ketidakpandaian kita... untuk kita belajar dan menuntut ilmu dari orang yang lebih tahu dan berpengalaman." Monolog Zainuddin seorang diri. Sambil kereta dipandu menuju Pasir Mas.
Petang yang redup itu, hatinya girang. Rasanya inilah hari pertama dia menjadi sukarelawan pasukan perubatan. Menjaga meja pemeriksaan kesihatan statik di sebuah daerah bernama Jelawat. Dia juga hairan bagaimana boleh dia sampai ke situ. Mujur juga ada Arislan dan Mujahid tadi. Banyak yang dia pelajari.
Dikala memandu itu, zihinnya teringat satu kejadian tadi.
"Pakcik, berapa nombor ic pakcik?" Tuturnya ramah sambil senyum sepenuh hati.
"490707... 05... 1001."
"Empat puluh sembilan?" Berkerut dahi Zainuddin.
"Ya nak. Empat puluh sembilan. Sekarang umur pakcik enam puluh sembilan." Pakcik senyum.
"Owh. Nampak muda lagi pakcik ni."
"Namanya siapa?" Jemari Zainuddin siap untuk mencatat.
"Rainuddin." Sebut PakCik laju. Zainuddin minta diejakan satu satu.
"R-A-I-N-U-D-D-I-N." Zainuddin lantas segera menulis.
"Owh Rainuddin. Tapi apa pasal nama pakcik Rainuddin? Kalau Zainuddin, dah sama dengan nama saya." Sempat lagi dia bergurau. Alat pemeriksa tekanan darah dipasang pada pakcik.
“Sebabnya masa arwah ayah pakcik nak daftar nama dulu… Polis tu lupa bubuh titik. Huruf Zai patutnya tapi jadi huruf Ra.”
“Jadilah Rainuddin… .”
Zainuddin tersenyum mengenangkan peristiwa itu. Kini dia sudah sampai ke Cabang Empat Pendek. Lampu isyarat masih merah. Zainuddin menyandarkan kepala. Rasa mengantuk.
"Tok! Tok! Tok!"
Zainuddin membuka kelopak mata. Kipas berpusing-pusing ligat di atas.
"Tok! Tok! Tok!" Rupanya ada seseorang diluar rumah. Dia segera bangun dari katil. Tidurnya terganggu. Mimpinya hilang ditelan sedar.
"Oh, Pak Imam Moustapa! Ingat siapa tadi."
"Iyalah. Aku lah ni."
"Dari mana Pak Imam?" Dia bertanya sambil menggosok mata yang masih mengantuk.
"Aku datang pungut sayur kangkung belakang rumah kamu tu."
"Owh."
"Begini Udin… Dah lama aku tak nampak kamu kat surau. Apa dah jadi? Apa khabar iman kamu?"
Zainuddin tersengih mengaku taksir. Semenjak dua menjak ini, memang selipar hijaunya sudah tidak kelihatan disurau. Bukan kerana dicuri tapi kerana imannya yang dicuri!
"Lagi sejam, masuk waktu zohor. Aku nak kamu datang surau An-Nur. Kalau boleh, kamu yang jadi bilal tengahhari ni!" Tegas Pak Imam Moustapa. Dia mengangguk menyiakan hajat Pak Imam.
Pak Imam lantas minta diri. Berjalan penuh karisma. Selesai berdakwah!
Zainuddin menutup pintu perlahan. Rasa ingin tidur lagi.
"Eh, bo lah tidur nyo! Gi mandi-mandi tu!"
"Gi ssejid nuhh!" Tiba-tiba muncul Kak Hajar Himnae dengan slogannya; #GiSsejid Nuhh.
- Tamat -
Ketika cerpen ini ditulis, Zainuddin masih lagi asyik bermimpi. Mimpinya mahu jadi persis Pak Hamka! Berdakwah dengan mata pena. Tapi tidurnya mengalahkan beruang kutub dimusim sejuk.


Cerpen : Zainuddin Sang Pemimpi (2)


Rambutnya yang panjang diterbangkan angin ke belakang. Wajahnya terasa dingin apabila diterpa angin lalu. Dia rasanya begitu gembira sekali. Itulah kali pertama dia menaiki pesawat 'Zero Fighter'. Bahkan lebih beruntung, yang memandunya adalah Jiro Horikoshi; Ketua Jurutera yang bertanggungjawab merekacipta pesawat itu.
"Awang Hassan, tahniah atas kejayaan kamu menghabiskan kuliah Perubatan kamu di Kolej Perubatan Raja Edward VII." Zainuddin merasa teruja. Namun dia hairan, kenapa dipanggilnya Awang Hassan?
"Alhamdulillah syukur. Semua itu kehendak Allah. Sedangkan aku sendiri masih dilema. Rasanya seakan aku tersalah jurusan!"
"Mengapa pula tersalah jurusan? Takkanlah Tuhan tersalah meletakkan kamu dibidang itu. Mustahil!"
"Bukan begitu maksudku. Sejujurnya, hati aku kosong pada bidang kesihatan. Yang aku gilakan sebenarnya adalah dunia penulisan dan rakaman."
"Aku sangat teruja apabila melihat cerita 'The Wind Rises' karya seni Hayao Miyazaki. Pengarah Ghibli Studio!"
"Jangan begitu Awang. Kau tak boleh jadi orang lain. Kau adalah diri kau. Walaupun kau kagum dengan pekerjaan orang lain."
"Cubalah kau amati bidang kerjaya mu itu. Pastinya ada sebab-sebabnya mengapa Tuhan mentakdirkan kau disitu."
Beng! Beng! Beng! Beng!
Pesawat Zero Fighter ditembak dari jauh. Lalu menjunam laju jatuh ke samudera Cina Selatan.
Zainuddin kebasahan. Mukanya disimbah air.
"Bangun! Solat subuh!" Jerit abah sambil memegang timba yang masih berisi sedikit air. Rupanya dia bermimpi lagi. Malam sudah habis! Hari sudah mahu cerah.
- Tamat -






















[Jiro Horikoshi]


















[Awang Hassan]


Cerpen : Zainuddin Sang Pemimpi (3)

Desiran angin kedengaran kuat. Seakannya hujan akan turun. Luqman mendongak keluar tingkap. Awan mendung berarak perlahan.
Hujan rintik-rintik mulai berirama. Disusuli hujan lebat.
Agaknya sudah hampir seminggu hujan tidak turun. Tanah-tanah sudah kering. Pokok kayu dan pokok bunga pun sudah mulai layu. Penat juga Luqman menyiramnya. Hampir setiap hari.
Dengan hujan, para petani dan pekebun, senang hati. Alamatnya pepohonan akan menghijau segar. Ibu-ibu juga senang hati kerna tidak akan kedengaran lagi, rengekan dan esakan tangis anak kecil kebahangan didalam rumah beratapkan zink. Dalam rumah pun turut terasa sejuk.
Sambil menikmati buah 'pauh ringan', Luqman menatap hujan. Sekali-sekala, tempias hujan singgah ke muka.
"Luqman, berdoalah." Kata Cikgu Osman.
"Kenapa Daddy kata macam tu?" Anak muda yang sedang menanti kerja itu bertanya jujur.
"Kan Daddy pernah ajar dulu. Masa Luqman kecil-kecil dulu. Waktu hujan adalah antara waktu yang mustajab kita berdoa. Berdoalah moga-moga Luqman dapat kerja yang elok. Tempat kerja yang dekat dengan rumah." Cikgu Osman menepuk bahu anak ke-tiganya itu lantas berlalu pergi menunaikan solat zohor.
Luqman segera berdoa. Dimulai dengan basmalah, di iringi selawat di awal dan di akhir doa. Pertengahannya, dia menuturkan segala hajat hati nuraninya. Berbekalkan sangka baik pada Pencipta alam.
Setiap kejadian alam adalah aturan Pencipta alam. Hujan tidak turun dengan semula jadi tetapi mengikut perintah dari langit. Alam ini ada penciptanya. Bukan seperti dakwaan bohong para atheis atau mulhid. Yang percaya bahawa alam ini terjadi dengan sendiri. Sungguh tidak rasional fikrah mereka.
"Hohohoihoit!"
"Hohohoihoit!"
Satu mesej Whatsapp menerpa masuk. Zainuddin tersedar dari tidurnya yang panjang. Hairan dia dengan mimpi pagi ini.
'Salam, jom tubik minum air.' ~ Luqman Abdullah.
Patutlah Zainuddin bermimpi pasal Luqman. Rupanya kawan baik nak ajak minum air.
-Tamat-





Cerpen : Zainuddin Sang Pemimpi (4)


Awang mengunci kereta Kelisa putihnya. Lalu segera berjalan menuju ke Warung Kurnia Ibu. Atau lebih masyhur dalam kalangan penduduk tempatan dengan Kedai Moksu.
Dari jauh, Awang nampak Hafizul sudah menunggu disebuah meja makan. Awang ikut duduk disitu. Beberapa minit kemudian Zainuddin pula sampai dengan basikal jepun berwarna merahnya itu. Basikal lejen kata mereka.
Sambil menanti Air Coconut Shake yang dipesan tiba, mereka bertanya khabar. Maklumlah, sudah lama berpisah dan berjauhan antara satu sama lain.
Hafizul, katanya dia sekarang ini menganggur pula. Sudah seminggu. Kontrak sudah habis. Jadi, dia sedang mengintai-intai pekerjaan baru untuk dipinang.
Zainuddin pula menurut dia, masih tidak berbuat apa-apa. Sekadar duduk-duduk dirumah. Kawan ajak minum, dia keluar minum. Takda kerja lain, dia tidur. Puas tidur, dia buka FB. Mengarang katanya. Mahu jadi hamka! Berdekah-dekah kawannya ketawa. Bermimpi!
Pada perancangan dan tindakan Awang, dia mahu menjadi usahawan tani muda. Dia tak mahu menghabiskan masa menganggurnya dengan begitu sahaja. Kawan yang lain ada yang bekerja. Ada yang buat bisnes. Bagaimana mungkin dia tinggal bermenung saja.
Tiba-tiba, seorang yang mereka kenali menghampiri lalu ikut serta berbual bersama mereka. Cikgu Hadi memesan minuman.
"Saya tanam sayur sekarang cikgu." Bersungguh Awang memberitahu.
"Sayur apa kamu tanam?"
"Tanam lada besar dan terung je cikgu."
"Baguslah berbudi pada tanah. Tak rugi masa kamu menanti pekerjaan ni."
"Banyak ke kamu tanam tu? Boleh makan hasil ke?" Cikgu Hadi bertanya lagi. Minat dia untuk mengetahui perkembangan anak-anak muridnya. Hafizul dan Zainuddin setia mendengar. Awang terkebil-kebil.
"Tak banyak pun cikgu saya tanam. Sepuluh polibeg lada besar... 12 polibeg terung ungu." Awang termenung jauh. Disudut hatinya, dia sendiri jadi tertanya, bolehkah dengan jumlah itu, dia menjadi usahawan tani?
"Alahai sikitnya tanam. Macam mana nak jadi usahawan tani." Ujar Zainuddin.
"Orang lain tanam berpuluh-puluh polibeg. Berpuluh meter panjang. Macam mana mimpi nak jadi realiti!" Hafizul menambah.
"Betul tu Awang. Cikgu pun rasa usaha kamu belum cukup. Tapi kamu dah ada permulaan yang baik. Orang kata dah ada langkah pertama."
"Dalam tempoh menganggur ni, eloklah kamu semua buat sesuatu yang bermanfaat. Baik untuk dunia mahupun akhirat. Jangan bazirkan masa!"
"Cuma, untuk Awang, Cikgu rasa lebih baik kamu pergi belajar dengan usahawan tani yang lain. Sekarang ni, ada kaedah fertigrasi. Kamu boleh belajar kaedah tu."
"Aku pun ada juga follow seorang usahawan tani kat facebook. Dia tu doktor tau. Hartanah pun dia terlibat jugak."
"Cuba kau cari facebook... ." Bersemangat Hafizul berkongsi informasi. Bagi dia, kita sepatutnya menyebarluaskan cerita-cerita orang muda yang berjaya supaya orang muda yang lain pun turut sama berjaya.
"Baik cikgu. Saya cuba improve lagi usaha saya." Awang akur dengan nasihat yang diberikan.
"Zainuddin! Jangan lupa tulis cerita kita petang ni deh." Awang berseloroh. Cikgu Hadi memandang Zainuddin dengan hairan.
"Zainuddin ni mimpi nak jadi macam Hamka cikgu." Hafizul memberitahu.
"Oh. Menarik! Dah tulis berapa novel?"
Zainuddin menggaru kepala. Bagaimana mungkin mimpinya jadi realiti? Sebuah novel pun belum terbit lagi.
- Tamat -








Cerpen : Zainuddin Sang Pemimpi (5)

"Nuruddin! Nuruddin!"
"Hidup. Hidup."
"Hidup Nuruddin!"
Riuh kedengaran suara para penyokong calon YB. Tak ketinggalan menyertai perarakan itu adalah Zainuddin. Hairan juga dia, sejak bila dia berani turun berdemonstrasi dijalanan?
Habis perarakan, Zainuddin singgah ke kedai kopi.
"Nuruddin tu tak pandai buat kerja tapi ada hati nak jadi YB." Ujar seorang Pak cik.
'Pakcik dah kenal sungguh ke dia tu? Ke dengar khabar angin je?' Zainuddin bermonolog.
"Umur baru setahun jagung tapi dah nak jadi YB." Yang lain menambah.
'Apa masalah kalau orang muda yang berkemampuan berpolitik?' Zainuddin bermonolog lagi. Air kopi dihirup perlahan. Masih panas.
Bermacam-macam komentar yang dia dengar. Kepercayaannya mulai goyah. Dirinya bagai digoncangkan. Hingga dia mempersoalkan; patutkah aku menyokong Nuruddin yang penuh kritikan orang padanya! Namun hatinya berpesan, tetaplah bersabar dan berteguh hati.
"Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian... ingat lagi tak peristiwa Perang Ahzab. Musuh Islam bergabung membentuk satu persekutuan yang besar. Disertai oleh Arab Quraisy, kabilah Ghatafan, Yahudi Bani Nadhir, Bani Fuzarah dan Bani Murrah. Di ikuti pula pengkhianatan dari kaum munafiqin dan yahudi Banu Quraidzah dari dalam kota madinah.
Waktu itu Allah sebut dalam AlQuran bagaimana Allah uji hati orang beriman. Dan bagaimana Allah goncangkan hati para pejuang Islam.
Ketika dalam usaha menggali parit sebagai benteng kota Madinah, Rasulullah saw menjanjikan bahwa Islam akan menawan kerajaan besar dunia saat itu. Rom dan Parsi. Walhal ketika itu Madinah sudah terkepung!" Panjang lebar Baha berbicara pada sahabatnya. Hairan juga Zainuddin. Sejak bila Baha jadi ustaz sirah?
"Tetapi sesudah ujian dan goncangan hati itu, Allah swt membantu kaum muslimin menghadapi tentera Ahzab tanpa berperang. Musuh-musuh Islam kalah dengan bantuan Allah."
"Begitu jugalah kita dalam lapangan perjuangan hidup. Kadangkala hati kita digoncangkan. Tapi ingatlah Allah setiap masa. Cukuplah Allah sebagai sebaik-baik pembantu dan pembela kita."
"Apa yang perlu kita lakukan adalah berusaha dengan kadar kita. Niat kita benar. Cara kita betul. Kita mahu tegakkan Islam dinegara kita cintai."
"Kita perlu yakinkan rakan-rakan kita bahawa perjuangan Islam adalah pilihan terbaik. Agar kita semua bersatu hati dalam bab ini. Mudah-mudahan kita mendapat undi majoriti rakyat."
"Kita tak nak semata-mata mahu selamatkan negara, kita turunkan yang sekarang kemudian kita naikkan yang dulu juga. Kita mahu turunkan yang sekarang dan kita nak naikkan yang lebih baik lagi. Kita nak bina negara yang sejahtera."
"Takbir!" Bersemangat Zainuddin berteriak.
"Apa kau merepek ni Din? Kau nak jadi calon aku dengar."
"Calon apa?" Tanya Mokteh kehairanan melihat si penganggur penanam serai, lada dan terung itu.
Zainuddin tersenyum sepenuh bulan purnama. Matanya digosok. Kacamatanya dicapai. Dia berlalu pergi ke bilik air. Waktu dah subuh. Pejuang Islam kena lah bangun solat subuh!


- Tamat -







Cerpen : Zainuddin Sang Pemimpi (6)

Matanya berkelip-kelip menatap lelangit bilik. Buka tutup. Buka tutup. Lalu terpejam lama. Kegelapan berganti cahaya. Disinari mimpi.
"Udin...! Udin....! Bangun!"
"Kaknik nak beranak!"
Terkejut besar Zainuddin mendengarkan khabar berita itu dari kakaknya. Dia bagaikan melompat dari katil terus ke bilik air sambil mencapai tuala mandi. Sesampainya dibilik air, zihinnya membuat pertimbangan. Patutkah mandi dulu atau hanya berwudhuk untuk solat subuh? Ah, waktu dharurat begini, langsungkan saja hal yang wajib.
Seusai solat subuh seringkas yang mungkin, dia segera mengenakan baju kemeja kotak kecil-kecil. Terus, dia bersama kakaknya menaiki kereta ke rumah kakak ipar dikampung sebelah sana. Jantungnya berdetak laju lebih dari biasa.
"Assalamualaikum, mana kaknik?" Tanya Zainuddin cemas.
"Waalaikumussalam, Oh Zainuddin."
"Kaknik main gurau jah!"
"Gurauan semata-mata?" Zainuddin jadi hairan. Kaknik muncul dipintu rumah sambil tersengih. Nampak sihat lagi. Ingatkan dah beranak.
"Baru keluar darah je tadi. Lepas tu kaknik call doktor. Dia kata, nanti sakit betul-betul, baru lah datang ke klinik bersalin dia tu." Jantung Zainuddin bagaikan jatuh di atas tangga. Terpana. Tertegun. Mujurlah dia solat subuh dulu tadi. Rupanya Kaknik belumlah nak beranak sangat lagi. Haish, ini semua salah kakak.
"Udin...! Udin...! Bangun!"
"Kaknik dah lahirkan anak ketiga." Zainuddin dikejutkan dari lena yang panjang. Rupanya tadi dia bermimpi. Begitu sekali dia merasa cemas tadi, rupanya tadi hanya mimpi. Bagaimanalah kalau kiamat yang berlaku?
"Udin, tolong abenik deh. Tolong buat report kelahiran kat klinik kesihatan bandar Pasir Mas deh." Abangnya yang baru beroleh anak ketiga itu meminta jasa baik adiknya.
"Kak misi, saya nak buat report kelahiran." Kata Zainuddin. Tak pernah terbayang dia akan membuat report sebegitu. Dibelakangnya, bersusun ibu-ibu yang baru melahirkan anak menunggu rawatan dibilik Ibu dan Anak itu.


"Okay dik, bagitau lokasi rumah kak ipar adik tu ya. Nanti, jururawat akan pergi membuat ziarah." Zainuddin tertegun. Manalah dia tahu 'details' kawasan rumah kakak iparnya itu. Manalah dia tahu apa pekerjaan dan nama jiran kakak iparnya itu. Sedangkan jirannya pun, ada lagi yang dia tidak kenal.
"Assalamualaikum, insyallah bas kita akan berhenti selama 40 minit. Jadi, para penumpang bolehlah menunaikan solat dan menjamu selera." Pembantu pemandu Bas Sani Ekspress membuat pengumuman. Zainuddin tersedar dari tidur. Rupanya dia mimpi dalam mimpi.
Tetapi dia memang betul-betul mendapat anak sedara baru pada 1 Mei yang lalu. Tak tipu.
Mudah-mudahan, 10 Mei nanti dia bakal mendapat peneraju kerajaan persekutuan yang baru. Yang lebih adil dan mensejahterakan rakyat. Semoga itu bukan hanya mimpi semata-mata.


Cerpen : Zainuddin Sang Pemimpi (7)

"Zainuddin. Abang dah balik ni." Kedengaran suara kembarnya dari luar rumah. Kembarnya Omar Nuruddin adalah pelajar pondok Pasir Tumboh.
Omar Zainuddin segera menyambut kepulangan kembarnya dengan senyuman semanis kurma.
"Zainuddin, bila kita masuk bulan Ramadan ni ibarat seperti kita masuk satu kawasan yang penuh dengan harta emas dan perak." Abangnya bertazkirah.
"Bukan semua orang berpeluang untuk masuk kawasan itu. Tapi sayangnya ramai pula dalam kalangan orang yang diberi kesempatan untuk masuk ke situ, mereka mensia-siakannya."
"Sebabnya mereka tidak tahu di kawasan itu ada emas, ada perak. Macam kita jugalah, kita tak tahu bulan Ramadan ada kelebihan itu dan ini. Itulah kesan apabila kita tak mengambil tahu."
"Sedangkan Ramadan ibarat kawasan yang penuh harta karun. Solat jemaah digandakan pahala, amalan sunat diganjarkan seperti amalan wajib. Malah, ada malam Lailatul Qadar yang sangat sangat istimewa." Ujar Omar Nuruddin bersungguh pada adik kembarnya.
"Jadi, kau tu jangan lah buat taktahu je bila masuk bulan Ramadan ni. Tambahlah amal-amal soleh." Sempat lagi dia memberi nasihat 'keras' pada Zainuddin. Nuruddin mengambil sesuatu dari kocek seluarnya.
"Nah, ambil sekeping Dinar Emas Kelantan ni. Simpan elok-elok nanti buat mas kahwin." Zainuddin menyambut dengan sebaiknya.
Zainuddin melihat kembali dinar emas ditangannya. Dahinya berkerut seribu. Hanya duit syiling 50 sen versi baru!
"Mar! Jom Mar. Dah pukul lima pagi ni. Dah lama kita tidur ditepi jalan ni." Baihaqy bersuara mengejutkan Zainuddin yang masih mamai sambil membelek-belek syiling 50 sen ditangannya.
Enjin kereta Viva putih Baihaqy dihidupkan. Daerah hutan di Paloh itu ditinggalkan. Tak pernah terlintas difikiran mereka akan tidur lena dibahu jalan ditengah-tengah hutan belantara itu.
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas diteruskan jua. Rasa-rasa mengantuk sudah mereka tinggalkan dihutan Paloh.
p/s: takda gambar viva Bai. kita letak gambar kelisa lejen.





Cerpen : Zainuddin Sang Pemimpi (8)


Langit biru cerah secerah perasaanku. Mentari yang memancar indah, seindah sumber ilhamku.

Zainuddin menyarung T-shirt hitam bertulis "SG. CONGKAK". Di atas tulisan itu, ada simbol-simbol kitar semula. Belum pernah dia menjejakkan kaki ke sana. Tidak pernah juga dia menyertai kempen kebersihan disana. Cuma satu penjelasan. Itu baju abangnya yang dia rembat sesuka hati.

Kunci Kelisa dicapai. Rambutnya yang sudah panjang berusia lima bulan setengah, mahu dia tamatkan riwayatnya. Mahu ditinggalkan di bandar Pasir Mas. Biar dipungut orang pembandaran.

"Assalamualaikum bang." Kalam bicara terhenti disitu. Rupanya sudah ramai yang beratur. Menanti giliran menamatkan kisah pasang surut rambut dikepala.

"Waalaikumussalam dik. Maaf dik. Ramai ni. Kalau adik nak potong rambut jugak, boleh... tapi harus menunggu. Mahu?" Tanya Si Abang Tukang Gunting Rambut berkopiah putih.

"Boleh bang. Saya tidak lorat ke mana-mana." Ujar Udin tersenyum selamba.

Belum sempat dia mengambil tempat duduk disebuah kerusi kosong, Abang Tukang Gunting Rambut memintanya membelikan akhbar. Not kertas sepuluh ringgit dihulur dari saku baju. Tanpa bersoal jawab, dia akur saja.

"Abe buat 'style' lain deh. Tak sesuai adik buat 'style' belah tengah ni." Dia mengesyorkan pilihan 'bojen' buat pelanggannya. Pelanggan kedai gunting rambut di Plaza Serangkai Mas itu memang ramai. Boleh dikatakan, setiap tujuh minit, datang seorang pelanggan baru. Andaian sahaja, jangan percaya.

Abang Tukang Gunting Rambut itu memang ramah tamah. Mulutnya banyak. Cakapnya manis. Mungkin itu caranya menghilangkan bosan dan lenguh tangan dan kaki. Zainuddin pun tak terlepas ditemubual abang itu.

Antara soalan kegemarannya; belajar dimana, bekerja apa, tinggal dikampung mana dan banyak lagi.

"Adik belajar universiti ka?"

"Ya bang. Baru habis mengaji lagi."

"Universiti mana dik?"

"Universiti biasa saja. Belajar macam kebanyakkan orang muda."

"Sekarang kerja apa dik?"

"Belum kerja tapi jadi RA."

"R-A tu apa dik?"

"Aaaa R-A tu...
Rarare rare rare ra
Rarare rare rare ra
Rarare rara rera rara rare rara.... "

"Woi Udin! Bangunlah. Kau mimpi apa ni, sampai kau menyanyi lagu Ayah Ibu Anak? Bukan ke esok kau nak daftar diri jadi R-A ke?" Tahu pula si kakak lagu nyanyian kumpulan BAJI itu ya.

"A'ah betul." Zainuddin menggosok mata. Jemarinya meraba rambut belaan kesayangan hati. Mujur masih ada.

"Hari ni pergilah potong rambut tu. Takkan la nak jadi RA, rambut panjang serabai macam tu. Tau la penganggur." Marah si kakak berbaur nasihat.

"Kita orang Islam ni kena selalu kemas. Penampilan kena elok. Bukan sebab nak bekerja semata-mata. Ataupun sebab nak jumpa bakal mertua sahaja. Biar orang nampak indahnya Islam melalui kita." Si kakak menambah lagi.

"Masyallah.... Alhamdulillah. Terima kasih nasihat ikhlas tu. Udin terima dengan hati yang tulus dan telus."

#SemingguSatuCerpen
#roadtoJannah 











Cerpen : Zainuddin Sang Pemimpi (9)


Cengkerik-cengkerik meriah bergendang diluar rumah. Zainuddin masih tekun membaca buku kesayangan sedari kecil. Buku pemberian ibu demi memupuk minat membaca dijiwanya.

Tiba-tiba jendela bilik diketuk berkali-kali. Kedengaran hanya perlahan. Dia memberanikan diri, membuka jendela. Gelap sahaja diluar. Matanya meliar mencari sebarang kelibat.

"Assalamualaikum Omar! Ini sayalah. Kawan lama kamu." Suatu suara muncul dari kegelapan malam. Zainuddin bertambah seram. Kawan mana pula ya? Getus hatinya.

"Waalaikumussalam, ya saya Omar. Tapi dimana kamu? Saya tak nampak." Omar Zainuddin membalas dengan gugup.

"Kat sinilah! Kat sini." Kelihatan kelibat seperti orang kenit. Ya, memang benar orang kenit. Rupa parasnya seperti Awang Kenit.

"Marilah ikut saya, Omar. Mari kita ke kebun ayah kamu. Ada sesuatu mahu saya tunjukkan." Ujar orang kenit itu.

Rasa seram dan takut digadaikan saja demi rasa ingin tahu yang menggunung tinggi. Zainuddin pun turut serta.

"Kalau tak silap saya, nama kamu Omar Nuruddin kan?" Orang kenit menyambung bicara lagi.

"Memang kamu silap. Hahaha. Nama saya Omar Zainuddin lah. Omar Nuruddin itu abang kembar saya. Rupa kami memang seiras." Baru Zainuddin mengerti bahwa orang kenit itu kawan abang kembarnya.

"Siapa pula nama kamu wahai sahabat?" Tanya Zainuddin.

"Tidakkah kamu kenali wajah sekacak saya ini. Orang yang masyhur dalam kalangan kanak-kanak tetapi selalu dilupakan orang dewasa!"

"Sayalah Awang Kenit." Terpesona Zainuddin mendapatkan hakikat itu.

"Ayuhlah kita masuk." Awang Kenit mengajak Zainuddin memasuki rumahnya yang terletak dalam busut anai-anai dikebun ayah.

"Bagaimana mungkin saya masuk? Busut ini kecil, badan saya besar."

Awang kenit mengeluarkan payung putih dari rumahnya. Lalu menghalakan ke arah Zainuddin. Sekelip mata, Zainuddin juga jadi kerdil dan kenit semacam Awang Kenit. Lalu dia segera masuk ke rumah Awang Kenit dengan 1001 kehairanan.

"Wah, rumah kamu luar biasa sungguh. Mengapa abang Omar Nuruddin tidak pernah bercerita kepada saya tentang kamu." Dia merungut kesal sambil mendongak-dongak takjub ke segenap ruangan rumah itu.

"Hanya rumah inilah dunia saya. Semunya berasaskan kayu. Bahkan, saya adalah tukang kayu terhebat. Semua anai-anai adalah pekerja saya. Mereka mengangkut kayu-kayu dikebun ayah kamu untuk dibawa ke dalam busut ini."

"Cuba kamu tengok disana. Pelbagai hasil kraftangan saya hasilkan hanya dari sisa kebun ayah kamu. Itu dari pelepah kelapa... itu pula dari batang salak... yang ini pula dari tempurung kelapa." Zainuddin bertambah kagum.

"Nak harapkan kamu, tebal dulu lah semak samun disini. Alangkah ruginya kamu tidak memanfaatkan kebun sekangkang kera ini. Walaupun tidak luas tapi ia sangat berpotensi."

"Tapi saya tidak pandai mengukir seperti kamu, Awang. Saya melihat pelepah kelapa, batang salak dan tempurung kelapa hanyalah sebagai sisa kebun yang menunggu untuk dibakar. Tidak seperti kamu."

"Maafkan saya."

"Tak mengapa Zainuddin. Lepas ini kamu kemarilah lagi ke sini. Saya akan ajarkan cara menjadi pengukir berjaya." Awang Kenit mempelawa sopan.

Mereka berdua terus berjalan hingga ke pintu dapur rumah. Pintu itu terletak dipangkal pohon nangka. Sejurus pintu dibuka, kelihatan satu cendawan putih bersih berdiri tegak.

"Selamat datang Zainuddin." Ujar cendawan putih itu. Hampir luruh jantung Zainuddin mendengar cendawan berbicara. Ajaib!

"Udin... Udin... Udin..." Terdengar suara ibu memanggil. Zainuddin melihat ke hujung pagar sana dalam kesamaran. Memang itu ibunya.

"Ya, Umi. Kenapa Umi panggil Udin?" Tanya Zainuddin pada ibunya.

"Umi nak suruh bangunlah. Bangun solat subuh. Cukuplah tu tidur." Zainuddin menoleh ke sekitarnya. Awang Kenit dan Cendawan Putih sudah tiada. Yang ada hanyalah sebuah buku kanak-kanak; Siri Mari Membaca. Berjudul Awang Kenit dan Cendawan Ajaib.

"Ah, mimpi rupanya... " Zainuddin menggosok mata lalu bersegera untuk solat subuh. Nanti tanah cerah, dia berazam mahu ke kebun ayah. Ingin dia mencari sesuatu dari mimpinya tadi.


#SemingguSatuCerpen
#roadtoJannah 










Cerpen : Zainuddin Sang Pemimpi (10)


Petang itu, bangku kayu didepan pintu utama rumah menjadi tempat dia bermenung. Wajahnya yang polos memandang kejauhan dengan minda menerawang ke alam fikir yang luas. Angin mulai bertiup. Semenjak kebelakangan ini, bumi Pasir Mas selalu kebasahan hujan diwaktu petang atau malam.
Dengan zihin yang bebas menerokai alam fikir, dia menikmati saat-saat hujan bakal tiba. Damai dan syahdu segera hadir.
Tidak semena-mena, abang kembarnya tersembul dimuka pintu rumah. Sekaligus mengusir pergi khayalan Omar Zainuddin.
"Apa yang bermain difikiran mu Zainuddin?" Tanya abang kembarnya, Omar Nuruddin.
"Saya berfikir tentang pekerjaan hidup saya bang Nuruddin. Rasanya masih terasa berat untuk saya melangkahkan kaki menjadi seorang tabib."
"Kenapa saya perlu menjadi seorang doktor bang Nuruddin? Sedangkan belajar pun susah, bekerja pun susah."
"Kata orang, seperti tidak ada kehidupan kalau jadi doktor."
Omar Nuruddin menggosok belakang Zainuddin tanda dia empati. Setia mendengar luahannya sambil mencelah juga sepatah dua.
"Siapa kata seorang doktor tidak ada kehidupan? Sebenarnya, cara kita memandang sesuatu, itulah yang membentuk penerimaan diri kita." Ujar Omar Nuruddin ringkas.
"Tapi bang Nuruddin, saya juga merasakan kurang minat dengan bidang ini. Saya lebih senang hati kalau saya bercucuk tanam. Menjadi petani." Zainuddin beralasan lagi.
"Jangan kau banyak tapi tapi Zainuddin... cubalah kau lihat pada sejarah hidupmu. Tuhan telah membuka laluan mudah untuk kau menjadi seorang doktor. Barangkali memang takdirnya itulah pekerjaan hidupmu." Omar Nuruddin memberi pencerahan lagi. Memang itulah yang Zainuddin perlukan saat ini.
"Ingat Din, sepanjang kita hidup ini... sebenarnya lakukan saja pekerjaan apa sekalipun. Asalkan ia halal menurut Islam.
"Mungkin ia kena dengan minat kita ataupun kebolehan diri kita ataupun ilmu yang ada pada kita. Sesungguhnya nanti kita semua akan mati Din!"
"Semalam abang menghadiri pengkebumian ayah kawan usrah abang. Sungguh benarlah, bahawa kita semua akan mati suatu hari nanti. Cepat atau lambat saja lah."
"Maka persiapkanlah amalan perbuatan yang soleh sebagai bekalan menuju negeri abadi."
"Buatlah Din, pekerjaan apa pun demi mendatangkan asbab rezeki kita untuk dunia kita dan kalau boleh juga, pekerjaan yang menjadi sumber pahala akhirat kita." Zainuddin mengangguk setuju.
"Kau masih ingat Din, waktu kita ditingkatan dua? Waktu itu kita sama-sama mengikuti ceramah kecemerlangan diri bersama Cikgu Yazid." Nuruddin mengimbas kenangan 12 tahun lalu.
"Ya, masih segar dalam ingatan saya."
"Cikgu Yazid pada hari itu bertanyakan cita-cita kita. Saya katakan bahwa cita-citaku untuk menjadi ulama dan pendakwah. Kerana mahu membimbing diri dan masyarakat dalam perihal memahami agama." Omar Nuruddin mengulang skrip jawapannya dulu.
"Dan saya pula mengatakan bahwa cita-citaku untuk menjadi seorang perawat. Yang menjadi asbab orang kebanyakan kembali sihat." Omar Zainuddin kembali sedar pada keinginan dia yang dulu.
"Justeru Din, jangan banyak soal lagi dalam menjalani pekerjaan hidup kita. Jalankan saja apa adanya. Sebarang susah diperjalanan, hadapilah dengan sabar dan tabah. Dan jangan kau lupa mencari kunci kebahagian dalam pekerjaanmu nanti."
"Tentu kau masih ingat juga bait lirik lagu satu dua tiga empat nyanyian Aris Ariwatan ini;
"Sayang dengar lagu ini
Untuk kau sandarkan buat pedoman
Jangan manis terus ditelan
Pahit terus dibuang… itu bidalan
Harus kau renungkan
Andai, Kau beroleh bahagia
Ingat itu bukan untuk selamanya
Andai, Kau dalam sengsara
Ingat itu bukan untuk selamanya
Hidup ini sementara…"
"Pandai juga pelajar pondok menyanyi ya." Zainuddin menyakat Bang Nuruddin. Keduanya pecah ketawa.
"Sampai bila harus aku mimpikan hidup yang senang dan selesa menurut kemahuan nafsuku! Hidup pasti ada susah senangnya. Bangunlah dari mimpi wahai Zainuddin." Monolog Zainuddin membuat kesimpulan.




Cerpen: Zainuddin Sang Pemimpi (11)

Petang yang hening, sambil makan-makan dan minum-minum didapur, Zainuddin bersembang dengan Kak Hajar dan Umi. Memang itu tabiat mereka.

"Kak Hajar dan Umi, tau tak hari ni ada kisah lucu terjadi." Kak Hajar mendengar sambil berwajah selamba. Penat bekerja barangkali. Wajah umi berseri nak dengar cerita anak-anak. Bagi Umi, cerita anak-anak pasal kehidupan adalah suatu yang menarik. Itulah sifat ibu yang baik.

"Tadi Udin gi hospital. Pastu Udin nak join la ward round sesi petang. Waktu Udin masuk Observation Ward kat Emergency Department tu, time tu HO sedang buat review lagi." Zainuddin bersungguh bercerita.

"Udin pandang HO yang ada dalam wad tu, pastu pandang pesakit-pesakit. Pastu, saja la hari ni, malas lagi nak pakai labcoat putih. Simpan dalam beg dulu. Nanti pakar datang, barulah nak pakai labcoat putih."

"Udin pun pergi la berdiri sebelah seorang abang HO. Udin berbaju kemeja, lengan baju dilipat separuh. Tanpa labcoat. Tanpa tie. Udin perhatikan dia buat evening review. Pastu dia toleh sekali tengok Udin. Pastu dia present case kat Udin! Lancar je."

"Betul Din? Dia present dalam bahasa inggeris la?" Tanya Kak Hajar tertarik.

"Ofcourse lah. Haha."

"Pastu kau buat apa?"

"Mula-mula Udin ingat dia nak share info patient tu je. Tapi rupanya dia nak present case kat Udin."

"Pastu Udin pun cepat-cepat bercakap. Tadi duk perhati je macam doktor pakar. Haha."

Udin kata; "Abe tengah buat review ko tu? Abe dah last posting ke?" Udin sengaja tanya supaya abang HO tu sedar, Udin ni medical student. Bukan Medical Officer. Apatah lagi doktor pakar yang bertugas untuk ward round.

Kemudian abang HO itu pun meneruskan membuat review kepada pesakit tu. Seolah-olah tiada apa yang berlaku tadi. Udin pun buat tak tahu juga sambil memakai labcoat putih. Kami berdua umpama mendapat arang di dahi.

"Haha. Mesti abang HO tu penat bekerja sampai dia tertukar student dengan pakar." Umi membuat andaian.

"Kau ni Din, kau bukan jadi pakar tapi buat kelakar!"

"Pastu kak Hajar nak tau tak. Lepas Udin pakai labcoat tu, Udin pergilah ke katil sebelah tu. Tengok seorang kakak HO buat review pula. Tiba-tiba anak pesakit katil tu cakap kat mak dia;

"Eh eh, muka doktor ni nak sama macam Dr. Mustaqir la mak. Sebijik. Tadi saya ingat Dr. Mustaqir dah." Entah siapa Dr. Mustaqir pun dia tidak kenal.

"Err... saya takda kembar Kak. Haha." Dalam kepala teringat angan-angannya mempunyai kembar.

"Kau ni Zainuddin. Macam-macam la."

"Ke sebab hari ni Udin pakai minyak rambut baru. STRONG HOLD. GATSBY. STYLING GEL." Ujar Zainuddin sambil menyentuh rambut yang masih kemas tersikat.

Zainuddin, Kak Hajar dan Umi ketawa dengan gembiranya. Sejak peristiwa lucu itu, Zainuddin selalu senyum seorang diri bila mengenangkannya.

Sememangnya Zainuddin bermimpi untuk menjadi seorang pakar dan profesor suatu hari nanti tetapi tidaklah disangka, hari ini dia sudah jadi 'pakar'. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang.

#roadtoJannah
#SemingguSatuCerpen





Cerpen: Zainuddin Sang Pemimpi (12)

Dia berkira-kira lagi untuk tidur. Kerna sudah terbiasa tidur lewat. Waktu sudahpun pukul 12.30 malam. Tiba-tiba telefon ayah berdering.

"Siapa pula yang telefon malam-malam begini." Ujar Zainuddin berteka-teki. Ayah pula tidur ditingkat atas.

Darzi. Nama ayah saudara terpapar di skrin telefon pintar ayah. Zainuddin menjawab panggilan.

"Innalillah wa inna ilaihi rajiun." Ucap Zainuddin sejurus mendapat khabar mengejut itu. Lantas dia segera berlari mendapatkan ayah. Bilik ayah terpaksa diketuk. Biarpun mengganggu ayah dan ibu yang sudahpun lena namun berita itu mesti dikhabarkan segera.

"Ayah... anak Pak Cik Hadi sudah tiada. Baru dijemput Ilahi sebentar tadi." Zainuddin memerihalkan berita sedih itu dengan rasa sebak di dada. Tidak pernah dia menyangka, akan kehilangan seorang sepupu yang lebih muda darinya.

Ayah kemudiannya terus membuat panggilan semula kepada adiknya, Darzi. Natijahnya, pada malam ini juga ayah, Ayah Long, Pak Mad dan Ayah Chik akan bergegas ke rumah PakCik Hadi di Padang Mengkuang, Terengganu Darul Iman. Zainuddin pun turut serta ke Terengganu.

Disaat insan lain lena dibuai mimpi, mereka membelah kesunyian malam dengan deruan enjin kereta. Jauh bukan soal lagi. Tengah malam buta bukan alasan lagi. Demi hak sesama saudara, mereka berpergian. Anak kamu, adalah anak saudara kami. Pemergian anak lelaki kamu yang disayangi bererti kehilangan juga buat kami.

Rasa mengantuk dilupakan saja. Walhal ayah belum sempat betul-betul lena lagi dan adik-beradiknya pula belum tidur walau sebentar. Syukurlah, mereka selamat sampai ke destinasi ketika azan Subuh baru saja dikumandangkan.

Zainuddin tidak bermimpi. Malam ini dia pergi ke Terengganu. Bersama ayah saudaranya. 

Dia menatap jasad sepupunya yang telah kaku. Ayah saudara menitiskan air mata pilu. Ahli keluarga apatah lagi. Lalu Zainuddin mengambil buku Surah Yassin dan membacanya perlahan-lahan. Hadiah buat sepupu yang masih belum sempat dia berkenalan sedalamnya.

Setelah tanah  mulai cerah, ayah saudara mengajak beberapa orang untuk mengambil sedikit sarapan pagi di kedai. Sambil membeli makanan untuk orang yang akan datang berziarah nanti.

"Fariz. Bila sampai?" Tanya Zainuddin pada abang sepupunya itu.

"Masih baru lagi. Balik berdua dengan kawan ni."

"Selepas dapat berita, terus Fariz balik dengan kawan." Fariz bersuara lagi dengan sebak didada. Manalah tidak sedihnya, adik kesayangan sudah pergi ke alam barzakh. 

Jam sembilan, jenazah mula di uruskan. Sebagaimana termaklum bahwa atas setiap jenazah adanya empat hak yang perlu ditunaikan. Iaitu memandikan jenazah, mengkafankan, solat jenazah dan mengebumikan jenazah. Zainuddin mengambil kesempatan untuk terlibat secara dekat. Mahu berbakti kali akhir. Mahu menyemai keinsafan pada diri. Bahawa diri ini juga akan melalui proses yang sama.

Di Tanah Perkuburan Tok Nahu, Bukit Payung, jenazah sepupu diturunkan  ke dalam lubang kubur. Dihadapkan ke kiblat. Lalu sekeping papan diletakkan menutup kotak keranda.

Tanah di kais sedikit demi sedikit. Perlahan dan perlahan. Lama kelamaan, yang nampak hanyalah batu nisan yang terpacak.

Bacaan talkin dimulakan. Disertai bacaan tahlil pula. Kemudian para hadirin mulai bersurai.

"Muda tidak bermakna, ajal kita masih lambat. Kerana muda lawannya tua. Hidup lawannya mati. Zainuddin bagaikan tersentap dari buaian mimpi dunia. Bilakah akan insaf wahai diri bernama Zainuddin?"

Dia bermonolog menasihati diri yang masih alpa. Yang masih tenggelam dalam tipudaya dunia sementara.

"Assalamualaikum. Jumpa lagi ya." Ujar Zainuddin meminta diri.

"Waalaikumussalam. Insyallah jumpa lagi."

"Pandu hati-hati." Ujar Fariz dan ahli keluarganya

#SemingguSatuCerpen
#roadtoJannah



Cerpen: Zainuddin Sang Pemimpi (13)

Persis sedang bermimpi. Itulah yang dia rasakan.

Tahu-tahu, dia sudah disini. Dalam dunia perubatan. Enam tahun difakulti, alhamdulillah lancar walaupun keputusan peperiksaan tidaklah memuaskan. 

Dan sekarang ini, dia berada digerbang perjuangan hidup. Dua tahun pergelutan. 24 bulan latihan dan proses pembelajaran. Demi untuk melahirkan dia menjadi seorang perawat.

Zihinnya berkabus. Perjalanan 730 hari akan datang belum nampak hujungnya. Namun, 25 tahun hidup yang telah dia lalui, dia syukuri apa adanya. Gembira dan seronok dengan pemberian Tuhan. Sememangnya, hidup adalah anugerah dari Tuhan. Kerna itulah harus kita hargai.

Hari esok belum dia tahu, dilubang mana dia akan terjatuh atau disaat mana dia akan tersenyum seindah Suria. Sang Suria yang membawa cahya. Akan tetapi dia 'enjoy' hidup dengan penuh kegirangan dan gelak tawa. Hari esok, hanya Allah yang tahu bagaimana. Sebagai makhluk yang dicipta Tuhan, kita hanya disuruh hidup berpedoman agar sampai ke tujuan. Syurga Tuhan.

Nafasnya keluar masuk. Cuba memberi ketenangan.

"Umi, Udin rasa macam bermimpi. Macam manalah Udin sampai disini." Getus Zainuddin pada ibunya dihujung talian.

Mendengarkan kalimat itu, terbit gerun dan risau dihati ibu. Adakah anaknya ada sesal pada pekerjaan hidup yang hampir tertakdir padanya itu? Bukankah telah dia terangkan segalanya pada Zainuddin ketika dia ditahun dua fakulti perubatan dulu? Adakah ada rasa sesal yang bersarang dilubuk hati anak ke-enamnya itu?

"Mengapa kata begitu Din?" Tanya ibu minta penjelasan. Risau.

"Oh. Tak ada apalah ibu. Udin tidak menyesal apalagi merasa sesal."

"Udin hanya tertanya-tanya. Sedangkan Udin belum lagi bersungguh memilih jalan ini. Haha."

"Allah dah permudahkan jalan untuk pekerjaan ini kepadamu nak. Hakikatnya semua pekerjaan adalah mulia. Dan Tuhan menempatkan kita pada jalan yang terbaik buat kita."

"Ibu pun bukan nak jadi cikgu sangat. Dalam jiwa nak 'researcher'. Pun begitu, sambil menjadi guru, ibu tetap saja mengaplikasikan cara hidup seorang 'researcher'." Jujur ibu bercerita tentang kisahnya.

"Semoga ada hikmah Tuhan yang akan kau temui nak. Dalam dunia perubatan dan kesihatan ini." Ujar ibu lagi.

Zainuddin merenung Kuala Terengganu dari puncak Bukit Besar. Hatinya berkata-kata. Kalimat positif dan optimis disemaikan. Buat azimat agar terus percaya pada Tuhan. Cinta tak salah alamat. Cintanya pada dunia perubatan bukanlah satu kesilapan.

"Nuruddin! Nuruddin! Bangun!" Jerit Naim dari bilik sebelah.

Dia melihat jam. Ah, sudah masanya untuk bangun ke tempat perkhidmatan. Rupanya dia bermimpi lagi tadi. Mimpi bersama ibu ditalian ketika dipuncak Bukit Besar Kuala Terengganu.

~ Tamat ~

#sebulan2cerpen
#roadtoJannah

Dengan ini, berakhirlah Cerpen Zainuddin Sang Pemimpi. Semoga ada pelajaran dan dakwah yang dapat para pembaca ambil.

Nantikan siri-siri cerpen berunsurkan pelajaran dan dakwah dari blog Zainuddin Menulis.

Nice photo. Credit to the owner. From google.




Comments

Popular posts from this blog

Cerpen : Hijrah

Smart Circle : Dentistrone ' Apa guna Tazkirah? '

Cerpen: 'Hayati Yang Hilang'