Cerpen : Aku Masih Mentah
Cerpen : Aku Masih Mentah (1)
"Zainuddin, lepas habis round petang kita main badminton nak ?" Alif mengajak perlahan. Bimbang di dengari doktor pakar. Keningku terangkat sedikit. Teruja.
"Boleh jah. Lama dah aku tak main badminton"
"Nak main kat mana?"
"Nak main kat mana?"
"Dewan Badminton USM. Boleh ? Ke nak balik lewat lagi hari ni?" Alif masih belum hampa. Hasratnya untuk meluangkan sedikit masa bersama teman-teman yang baru tiga minggu dikenali. Tambah mengharukan jiwanya; hari ini adalah hari terakhir untuk mereka bersama. Posting Elektif mereka sudah selesai.
"Boleh lah. No hal lah. Cuma, nanti tolong hantar ana kat Pasir Mas ya."
"Bereh boh. barang mudah jah tu. Haha." Aku tergelak perlahan mendengar jawapan Alif. Bak kata seorang sister, kalau jadi doktor kena cakap perlahan-lahan supaya tidak mengganggu pesakit.
Wring!
Wring!
Wring!
Wring!
Wring!
Wring!
Wring!
Loceng kecemasan berbunyi empat kali. Cemas. Petanda ada pesakit baru masuk ke zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital. Aku,Alif dan teman yang ada segera ke zon merah. Berlari-lari anak dek di landa adrenaline rush. Teruja untuk mempelajari sesuatu yang baru dari pesakit.
"Alif, tunggu aku ! " Riduan menjerit dari arah belakang.
Cerpen : Aku Masih Mentah (2)
Alif menolak daun pintu zon merah yang separa tertutup. Kami melangkah masuk setelah mendapatkan keizinan dari doctor yang bertugas di situ. Zon Merah kelihatan cemas saat ini. Semua staff hospital yang bertugas di zon ini dilanda cemas. Pesakit yang diterima disini dalam keadaan sangat kritikal. Pesakit memerlukan rawatan segera.
Namun, para petugas disini sebenarnya sudah dilatih dengan sangat mantap bagaimana untuk menghadapi saat-saat genting sebegini. Dalam keadaan cemas sebegitu mereka masih boleh membuat keputusan yang tepat untuk merawat pesakit. Kerana bukan semua pesakit kritikal perlu diberi rawatan yang sama. Ada keputusan yang mesti dibuat agar rawatan yang dibuat adalah tepat dan Berjaya menyelamatkan pesakit. Bukan main semberono sahaja.
Seorang pesakit lelaki berbangsa Melayu berumur lewat 30-an sedang terbaring lemah di atas katil. Graf degupan jantung yang terpapar pada skrin kecil disebelah kiri pesakit nampak sangat lemah. Garisannya turun-naik. Sesekala mendatar pula. Degupan dikesan pada skrin ECG semakin melemah. Merisaukan para doctor. Aku memerhatikan baju dan seluar pesakit yang koyak-rabak.
Ada pendarahan yang banyak pada tubuhnya. Doktor-doktor segera melakukan misi resusitasi. Bagi memastikan pesakit ini kembali sedar dan keadaannya stabil. Aku teringin untuk bertanya lanjut tentang pesakit ini tetapi niat itu terhalang melihat kesibukan doctor-doktor menyelamatkan pesakit.
CPR terus dilakukan untuk menstabilkan degupan jantung dan pernafasan pesakit. Setiap dua minit, doktor yang melakukan CPR akan diganti dengan doktor lain. Mereka bergilir-gilir agar CPR yang dilakukan adalah efektif. Ambu bag dan dada pesakit ditekan dengan sekata. Bergilir-gilir.
Kami yang masih lagi bergelar pelajar perubatan hanya memerhati setiap gerak-geri. Cuba untuk belajar dari pemerhatian. Ilmu secara teori didalam kuliah manalah sama dengan ilmu yang dilihat dengan mata kepala sendiri.Aku membuat kesimpulan.
20 minit sudah berlalu, namun pesakit tetap tidak Berjaya disedarkan jua. Mengikut piawaian, apabila pesakit tidak langsung memberi respon kepada CPR selepas lebih 20 minit maka CPR boleh dipertimbangkan untuk dihentikan. Degupan jantung pesakit tetap tidak kembali berdetak. Apalah daya upaya manusia walau doktor sekalipun untuk menahan ajal maut yang sudah ditentukan Tuhan.
“Bukankah ajal mati seseorang manusia itu tidak dapat dipercepatkan malah tidak pula dapat dilambatkan ? ” Kedengaran suara Izuan disebelah kananku bergetar sayu menyatakan persoalan yang sejujurnya, jawapannya adalah tidak mungkin sekali dapat dicepatkan atau dilambatkan. Lambat-lambat kami menganggukkan kepala jua. Membenarkan telahan itu.
* * *
“Riduan… tunggu jap.”Aku memanggil Riduan yang sedang berjalan beriringan bersama Izuan,Aiman,Iman dan Hanif. Mereka berempat memang kamcing walaupun ditakdirkan belajar di universiti yang berlainan.
“Ada apa Zainuddin ?”
“Kau tolong ajar dan tunjuk kat aku cara buat CPR boleh ? ” Suaraku rendah sahaja sambil hati berharap agar dapat belajar cara melakukan CPR dengan betul. Bukannya aku tidak pernah dengar teori CPR di bilik kuliah tetapi aku mahukan pendedahan yang lebih. Sememangnya Riduan kaya dengan pesanan-pesanan yang tidak tertulis di dalam buku pelajaran. Ada sahaja info tambahan. Pesanan pensyarahnya tidak dilupakan. Itulah yang aku mahukan.
“Ow boleh… boleh. Mula-mula sekali tentang CPR ni kau mesti tahu… .” Riduan mula berkongsi ilmu dengan kami semua. Akhlak yang terpuji tidak lokek ilmu begitu terserlah pada teman-teman ku disini. Apa sahaja yang ku tanyakan pasti diberikan jawapan dan penerangan yang jelas. Andai tidak tahu mereka akan merujuk terlebih dahulu. Andai mereka lupa, teman yang lain akan mengingatkan. Belajar perubatan bukanlah senang. Banyak fakta yang perlu di ingati.
Cerpen : Aku Masih Mentah (3)
“Bagus la kau ni… Zainuddin. Suka bertanya. Asal tak tahu sahaja mesti bertanya. Mana kau dapat rasa ‘curious’ yang tinggi tu ? ” Izuan mengguman sambil menuding jarinya ke dadaku. Cuba mengisyaratkan ke arah rasa ingin tahu yang bersarang dihatiku.
“Eh… mana ada. Kalian lah lagi bagus. Kalau tanya mesti korang bagi penerangan.”
“Aku kan masih mentah. Budak tahun tiga. Aku kan belum masuk clinical year lagi macam korang.”
“Aku kan masih mentah. Budak tahun tiga. Aku kan belum masuk clinical year lagi macam korang.”
“Haha… kau budak mentah lagi rupanya ? ” Aiman bernada gurauan.
“Mana ada. Zainuddin ni dah cukup matang dah ni. Kalau mentah lagi takkan la datang buat attachment kat hospital ni.” Sharil Iman membalas gurauan Aiman. Aku mencebikkan mulut. Macam budak mentah.
“Keep it up bro ! Ana nak tengok enta jadi professor 10 tahun lagi,boleh ? ” Firdaus Kamal datang entah dari arah mana tiba-tiba mengurut-urut bahu ku. Kata-katanya ku sambut sebagai satu cabaran. Aku mengangguk cepat. Cabaran disahut. Tekad mulai terbina. Firdaus seorang pendiam tetapi sekali keluar dari mulutnya itu semua kata-katanya ibarat mutiara. Bak kata pepatah diam-diam ubi berisi.
“Kau dan Alif ni datang dari mana ni? Tiba-tiba je muncul ni. Tadi menghilang ke mana ?” Aiman bertanya. Keningnya terangkat dua-dua belah.
“kami pergi tengok kes kat Yellow Zone tadi. Ada pesakit semi-kritikal baru masuk tadi. Cuba teka dia sakit apa ?” Giliran Alif pula bersuara. Firdaus disebelahnya,senyum sahaja mendengar soalan Alif.
“Accident ?” Teka Izuan. Biasanya kes sebegitu memang sangat selalu.
“Salah.”
“Asthma ? Or Diabetic patient Hypoglycemic Secondary to poor oral intake but compliance to OHA medication ? ” Azhar Omar menjawab dengan panjang lebar. Memang kalau tajuk diabetic,tiada yang boleh tandingi Azhar. Sebutlah DKA ke atau Chronic Somogyi rebound ke atau Whipple’s Triad atau apa-apa sahaja berkaitan dengan pesakit kencing manis,memang Azhar tahu semuanya. Entah kenapa,Safwan temannya juga tidak tahu bagaimana Azhar boleh jatuh hati dengan ‘Endocrinology System’.
“Eh, dah la tu. Jom kita keluar makan tengahhari. Dah pukul 12.30 dah ni . Mari ikut aku ke Restoran Seri Telipot. Jom la… . Nanti pukul 2 petang kena ikut ward round lagi kan.” Riduan mengajak dengan bersungguh-sungguh. Hari ini hari terakhir juga buat dirinya sebagai ‘elective student’.
Cerpen : Aku Masih Mentah (4)
“Perghh… Alhamdulillah. Sedap betul la nasi kukus Restoran Sri Telipot tadi. Harga pun okay la. Pandai pula korang cari kedai makan kat tengah-tengah Bandar Kota Bharu yang sedang membangun ni ya” Alif memuji-muji restoran yang menjadi tempat ‘lunch’ mereka hari ini.
“Tengok la sapa yang bawa.” Getus Izuan sambil membuat double jerk.
“Izuan ni walaupun asal KL, tapi sekarang Kota Bharu ni dah jadi kawasan dia.” Riduan menokok tambah.
Ukhuwah yang terjalin dihospital ini bagaikan terus subur dan mekar seperti mekarnya bunga-bunga Colorado Columbine di dataran tinggi,Rocky Mountain di kala musim bunga. Terasing tetapi disana ada keindahan. Pertemuan ini tidak pernah kami rancang. Sebuah takdir dari Tuhan yang Maha Esa.
“Jom la kita masuk awal sikit ward round hari ni. Nanti kita boleh join abang-abang dan kakak-kakak HO ambil history taking dan boleh juga tengok cara examine patient ” Azhar mengajak kami yang masih asyik berbual di kaki lima HRPZ 11.
Lagi 10 minit, ward round bersama doctor pakar akan bermula. Itulah saat yang kami nantikan setiap hari. Dari situ lah kami belajar banyak kes. Doktor pakar memang hebat. Semua basic dia ingat. Sampaikan kadang-kadang, aku yang baru sahaja habis pre-clinical pun naik malu. Maklumlah, baru sahaja habis belajar semua basic pre-clinical tetapi bila ditanya ternganga. Syndrome mudah lupa agaknya.
***
Ward Round berjalan seperti biasa. Hinggalah tiba ke katil nombor lima, doktor pakar meminta Hanif menjawab soalannya. Walaupun sedikit kaget disoal doktor pakar kecemasan tetapi Hanif dapat menjawab dengan baik. Aku pula tidak ada kerja lain lagi melainkan terus mencari penyakit-penyakit yang disebutkan doktor. Buku Oxford Handbook of Clinical Medicine menjadi rujukan kala ini. Banyak lagi lipatan dunia perubatan yang belum ku lalui. Itu memang sangat aku akui.
Cerpen : Aku Masih Mentah (5) - Bahagian terakhir.
“Allahu Akbar…” Imam mengangkat takbiratul ihram. Kami para makmun terus mengikut dibelakangnya. Solat Asar ku berjemaah di dalam kampus pelajar Universiti Sains Malaysia petang ini. Pengalaman pertama aku menapakkan kaki ke bumi USM,Kubang Kerian. Usai solat kami menghala ke dewan badminton.
Aku merenung jauh struktur dewan badminton tertutup milik USM. Berdiri megah sekali. Luas dan selesa. Lelangit bumbungnya tinggi menyebabkan pengudaraan beredar dengan baik. Lahir rasa kagum ku pada Universiti ini dengan kemudahan yang begitu hebat. Kemudian pandangan ku kembali ke gelanggang nombor dua.
Kelihatan Alif,Riduan,Izuan dan Firdaus sedang rancak beraksi dan berentap.Semuanya tak kurang hebatnya dalm bidang sukan. Satu perkara yang mengagumkan aku. Mereka adalah doktor-doktor yang sihat dan cergas. Hanif tidak ikut sama bermain badminton kerana ada hal katanya. Sharil Iman dan Aiman memang dari awal lagi pulang ke rumah. Mereka ada assignment yang perlu disiapkan segera.
Awan mulai mendung. Bintik-bintik hujan mulai berjurus-jurus turun perlahan. Kami tanpa menghiraukan hujan , berbaris didepan bangunan Desasiswa Nurani, bergambar kenangan. Mungkin inilah saat terakhir kami bersama. Jika ada rezeki, mungkin bertemu lagi. Kerana masing-masing selepas ini akan kembali meneruskan baki pengajian dan akan dihantar kerajaan ke mana-mana hospital yang memerlukan khidmat doktor pelatih.
“Jom minum air dulu” Riduan segera mengajak. Keramahannya tak pernah lekang. Entah dari mana sumbernya. Sejak dari hari pertama aku mulai attachment bersama dia hingga lah hari ini. Dia tetap peramah. Periang dan penghidup suasana. Ada saja agendanya.
“Boleh je Riduan. Asalkan belanja, kami semua okay je” Aku berseloroh. Kalau rezeki, mana lah tahu kan.
***
“dah nak maghrib ni. Kami minta diri untuk beransur dulu lah Riduan dan Izuan. ”Aliff menutur perlahan.
“okay… okay.”balas Riduan mesra. Sambil kami bersalaman dan berpelukan antara satu sama lain. Ini lah detik perpisahan kami. Buat sementara waktu mungkin. Jauh dibenak hati,aku sangat berharap perhubungan ini akan terus mekar dan hangat. Sehangat sang mentari di waktu puncak.
“Eh, 25 Januari tahun depan jemputlah datang rumah. Insyallah, aku nak buat majlis. Nak bina ‘masjid’. ” Salah seorang di antara kami memberitahu berita gembira itu. Bahkan gembira juga dia untuk melihat kami hadir ke majlisnya nanti. Siapa ? Biarlah kami saja yang tahu.
“Wah dah ada orang rupanya.” Firdaus mengguman separa berbisik.
***
“Zainuddin… apa yang kau tulis tu petang-petang begini.” Rajin pula kau menaip sejak balik dari Malaysia tempoh hari. Siap senyum-senyum lagi ni”. Cuba kau kongsi sikit dengan sahabat sebilik kau ni”.
Aku berhenti menaip. Selesai sudah. Butang save di tekan. Microsoft word ditutup setelah dipastikan disimpan dengan baik.Aku menekan mode sleep pada komputer riba. Lalu aku menolak kerusi roda ke balakang. Aku mundur dari meja belajar dan meninggalkan Bahar yang masih dihantui persoalan. Mencapai kunci rumah dan terus keluar menuju nafaq Camp Caesar bersama kotak kecil.
Tidak mengapa, lambat laun, dia akan membaca juga tulisan ku nanti. Sememangnya, dia juga minat membaca novel dan cerpen seperti aku. Kami punyai cita-cita dan impian yang hampir sama.
“kita berjanji untuk mencipta arus baru dalam dunia cerpen dan novel yang lebih membina dan memperkasakan umat islam. Dengan penulisan.” Itu kata sepakat kami yang mulai termeterai setahun yang lalu. Kata-kata itu terngiang-ngiang di saat ini.
***
“Sudah 10 minit lewat. Abang telah mensia-siakan masa saya”. Gadis bertudung biru muda itu cuba bertegas.
“Maafkan Zainuddin, Hayati.” Ringkas saja aku membalas.
“Nah, ini barang kiriman dari Pasir Mas. Untuk Hayati.” Hayati membelek-belek kotak sebesar genggaman tangan.
Terpegun.
“Jaga diri baik-baik di bumi Mesir ni. Kau tu masih baru disini kan. Jumpa lagi.” Aku mengangkat tangan seraya berjingkit pergi meninggalkan gadis bertudung biru itu. Dia masih teruja menerima hadiah itu.
“Umar Zainuddin ! ” Awang dari arah bertentangan menyeru sebaris namaku. Segaris senyuman ku ukirkan buatmu teman. Sejak pulang ke Mesir, inilah kali pertama kami bersua kembali.
“Eh, siapa akhawat bertudung turquoise tu ?” Segera pertanyaan itu menyapa cuping telinga ku. Rupanya dalam tidak sedar, Awang ternampak apa yang berlaku sebentar tadi.
“Aku masih mentah Awang. Kotak itu kiriman seseorang. Bukan dari aku. Jangan fikir yang bukan-bukan.” Segera ku nafikan apa yang mungkin bersarang dihati teman ku.
“Aku pergi dulu. Maaf, sudah lewat ni. Nanti kita jumpa lagi. Atau datang saja ke Bait Mumtaz. Bahar teman kau sentiasa ada dirumah.”
Senja mula merangkak pergi. Dihujung sana, lautan Mediteranean disimbah cahaya berwarna merah saga. Pantulan cahaya pada permukaan laut itu mencipta ketenangan di balik pandangan mata.
Cerita hari ini sudah berakhir. Esok bakal hadir pula. Namun, takkan ku lupa pada kisah semalam. Kerana aku masih mentah untuk memahami perjalanan hidup ini. Masih terlalu banyak perkara yang ingin difahami.
Aku tetap masih mentah. Attachment.
Tamat.
Zainuddin
Iskandariah
16 Oktober 2014
Comments
Post a Comment